DIARI BULAN JAMADIL AKHIR

Friday, August 20, 2010
Bulan Jamad As Thani.

Pengertian

Jamadil Akhir memberi erti musim sejuk yang akhir. Dari segi bahasa, ia bermaksud penghabisan atau beku penghabisan. Bulan ini dinamakan sedemikian setelah musim kekeringan atau air menjadi beku telah berakhir. Pada ketika itu air yang pada mulanya beku telah beransur-ansur menjadi cair. Namun demikian, salji-salji atau air yang beku masih lagi kedapatan di sana-sini.

1. Peperangan ‘Zi Qarad’ pada tahun keenam Hijrah. Pada peperangan itu Rasulullah saw menunaikan solat Al khauf ( solat semasa ketakutan ), Baginda saw mengadap ke arah kiblat, sekumpulan para sahabat berbaris di belakang Baginda saw, sementara sekumpulan lagi mengawal menghadapi musuh. Baginda saw bersolat dengan kumpulan pertama satu rakaat dengan dua kali sujud, kemudian kumpulan kedua lalu mereka mengikuti Baginda saw yang masih berada di dalam rakaat kedua. Mereka bersama Baginda saw mengerjakan rakaat tersebut lalu Baginda saw memberi salam. Nabi saw mengerjakan dua rakaat dan bagi setiap kumpulan berjamaah bersama Baginda saw satu rakaat.

2. Peperangan ‘Zat As Salasil’ pada tahun kelapan Hijrah. Sebabnya adalah kerana sekumpulan dari kaum Baliy dan Qudha’ah berkumpul untuk menyerang Madinah. Lalu Baginda saw melantik ‘Amr bin Al ‘As mengepalai satu angkatan yang terdiri daripada 300 orang sahabat membawa bendera berwarna putih. Mereka berjalan pada malam hari secara biasa dan dalam keadaan bersembunyi pada siang hari. Bersama di dalam kumpulan itu 30 penunggang kuda sehinggalah mereka sampai ke tempat mereka di sebuah oisis yang bernama ‘Juzam’ yang dikenali sebagai ‘Salasil’. Apabila sampai di sana mereka mendapati tentera musuh terlalu ramai lalu mereka meminta bantuan dari Rasulullah saw. Baginda saw menghantar sepasukan bantuan seramai 200 orang yang dipimpin oleh Abu ‘Ubaidah ‘Amir bin Al Jarrah, di dalamnya terdapat Abu Bakar As Siddiq dan Umar bin Al Khattab yang menjadikan kesemua tentera Islam seramai 500 orang. Kedua-dua tentera bertempur dan akhirnya kemenangan berpihak pada tentera Islam.

3. Abu Bakar As Siddiq keluar bersama para sahabat pada tahun kesebelas Hijrah ke daerah ‘Zi Al Qussah’ untuk memerangi orang-orang yang murtad - keluar dari Islam -. Tempat tersebut adalah sejauh 24 malam dari kota Madinah. Abu Bakar telah melantik Sinan Ad Dhumariy bagi menjaga kota Madinah.

4. Kematian Abu Bakar As Siddiq pada hari Isnin 22hb. Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah selepas sakit selama 15 hari. Beliau pada masa itu berumur 63 tahun, pemerintahannya selama 2 tahun, 3 bulan, 10 malam.

5. Perlantikan Umar bin Al Khattab sebagai khalifah pada tahun ke 13 Hijrah bersamaan tahun 634 Masihi.

6. Peperangan Yarmuk pada tahun ke 13 Hijrah di antara tentera Rom - yang terdiri dari lebih seratus ribu orang – dengan tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid bin Al Walid dan Abu ‘Ubaidah – yang terdiri daripada 30 ribu orang sahaja. Kemenangan telah diperolehi oleh tentera Islam, ada pandangan yang megatakan ianya berlaku pada bulan Rajab tahun ke 15 Hijrah.

7. Sampainya bantuan daripada Khalifah Umar bin Al Khattab kepada ‘Amr bin Al ‘As di Mesir pada tahun ke 20 Hijrah yang terdiri daripada tentera-tentera yang dipimpin oleh Az Zubair bin Al ‘Awwam, Al Miqdad bin Al Aswad, ‘Ubadah bin As Samit dan Maslamah bin Makhlad.

8. Peperangan Al Jamal yang berlaku di luar kota Basrah, Iraq pada 10 Jamadil Akhir tahun ke 36 Hijrah di antara Amir Al Mu’minin Ali bin Abi Talib yang disertai oleh beberapa orang sahabat di antaranya ; ‘Ammar bin Yasir dan Abdullah bin Al Abbas , menghadapi kumpulan yang diketuai oleh ‘Aisyah binti Abi Bakar, Talhah bin Ubaidillah dan Az Zubair bin Al ‘Awwam yang terdiri daripada orang-orang yang menuntut supaya Khalifah menjalankan penyiasatan dan pembelaan terhadap pembunuhan Usman bin Affan. Ianya dimenangi oleh tentera Ali bin Abi Talib, ada pendapat yang mengatakan bahawa peperangan tersebut berlaku pada bulan Jamadil Awwal.

9. Pada tahun ke 64 Hijrah, Amir Mekah Abdullah bin Az Zubair memulakan pembinaan Kaabah setelah ianya dibakar dan ditembak oleh orang-orang Syam dengan peluru.
10. Khalifah Harun Ar Rashid memerangi negara Rom pada tahun 165 Hijrah yang berakhir dengan perjanjian damai selama 3 tahun.

0 comments:

Post a Comment