Saidina Said bin Zaid RA

Saturday, May 21, 2011

Said Bin Zaid ra

Kekasih Kepada Yang Maha Pengasih

Zaid bin 'Amr Bin Nufayl berdiri di antara ramai orang yang berasak-rasak menyaksikan kaum Quraisy berpesta merayakan salah satu hari kebesaran mereka. Kaum lelaki memakai serban Sundusi yang mahal. Kaum wanita dan anak-anak berpakaian menarik bewarna terang, dan mengenakan perhiasan indah-indah. Haiwan-haiwan ternakan pun dipakaikan bermacam-macam perhiasan untuk ditarik orang untuk disembelih di hadapan patung-patung yang mereka sembah.

Zaid bersandar ke dinding Ka'bah seraya berkata, “Hai kaum Quraisy! Haiwan itu diciptakan oleh Allah. Dialah yang menurunkan hujan dari langit supaya haiwan-haiwan itu minum sepuas-puasnya. Dialah yang menumbuhkan rumput-rumput, supaya haiwan-haiwan itu makan sekenyang-kenyangnya. Kemudian kalian sembelih haiwan-haiwan itu tanpa menyebut nama-Nya. Sungguh bodoh dan sesat kalian!”

Al-Khattab, ayah Saidina Umar ra pun berdiri menghampiri Zaid, lalu ditamparnya Zaid. Kata Al-Khattab, “Kurang ajar kamu! Kami sudah sering mendengar kata-katamu yang kotor itu. Namun kami biarkan saja. Kini kesabaran kami sudah tiada lagi!”

Kemudian dihasutnya orang-orang jahiliyah supaya menyakiti Zaid. Zaid benar-benar disakiti mereka dengan sungguh-sungguh sehingga dia terpaksa menyingkirkan diri dari kota Makkah ke bukit Hira'.

Al Khattab menyerahkan urusan Zaid kepada sekelompok pemuda Quraisy untuk menghalanginya daripada masuki kota. Kerana itu, Zaid terpaksa pulang dengan sembunyi-sembunyi.

Kemudian Zaid bin ‘Amr bin Nufayl berkumpul ketika orang-orang Quraisy tengah bersama-sama dengan Waraqah bin Naufal, 'Abdullah bin Jahsy, Uthman bin Harith, dan Umaimah binti 'Abdul Muthalib; ibu saudara Nabi Muhammad SAW. Mereka berbicara mengenai kepercayaan masyarakat Arab yang sudah jauh tersesat. Kata Zaid, “Demi Allah! Sesungguhnya saudara-saudara sudah maklum bangsa kita sudah tidak mempunyai agama. Mereka sudah sesat dan menyeleweng dari agama Ibrahim yang lurus. Kerana itu marilah kita pelajari suatu agama yang dapat kita pegang jika saudara-saudara ingin beruntung.”

Keempat-empat orang itu pergi menemui pendeta-pendeta Yahudi, Nasrani, dan pemimpin-pemimpin agama lain untuk menyelidiki dan mempelajari agama Ibrahim yang murni. Waraqah bin Naufal meyakini agama Nasrani. 'Abdullah bin Jahsy dan Uthman bin Harith tidak menemukan apa-apa. Sedangkan Zaid bin 'Amr bin Nufayl mengalami kisahnya tersendiri:

Kata Zaid, “Saya pelajari agama Yahudi dan Nasrani. Tetapi keduanya saya tinggalkan kerana saya tidak memperoleh sesuatu yang dapat tenteramkan hati saya dalam kedua agama tersebut. Lalu saya berkelana ke seluruh pelusuk mencari agama Ibrahim. Ketika saya sampai ke negeri Syam, saya diberitahu tentang seorang Rahib yang mengerti Ilmu Kitab. Maka saya mendatangi Rahib tersebut, lalu saya ceritakan kepadanya pengalaman saya belajar agama.

Kata Rahib tersebut, “Saya tahu anda sedang mencari agama Ibrahim, wahai putera Makkah.” Jawabku, “Betul, itulah yang saya inginkan!” Kata Rahib, “Anda mencari agama yang dewasa ini sudah tak mungkin lagi ditemukan. Tetapi pulanglah anda ke negeri anda. Allah akan membangkitkan seorang Nabi di tengah-tengah bangsa anda untuk menyempurnakan agama Ibrahim. Bila anda bertemu dengan beliau, tetaplah anda bersamanya.”

Zaid berhenti berkelana. Beliau kembali ke Makkah menunggu Nabi yang dijanjikan. Ketika Zaid sedang dalam perjalanan pulang, Allah mengutus Muhammad menjadi Nabi dan Rasul dengan agama yang haq. Tetapi Zaid belum sempat bertemu dengan beliau, dia dihadang perompak-perompak Badawi di tengah jalan, dan terbunuh sebelum ia sempat sampai kembali ke Makkah. Sewaktu beliau akan menghembuskan nafasnya yang terakhir, Zaid memandang ke langit dan berkata, “Wahai Allah! Jika Engkau mengharamkanku dari agama lurus ini, maka janganlah anakku Said diharamkan pula dari padanya.”

Allah memperkenankan doa Zaid. Serentak Rasulullah SAW menyeru ramai orang masuk Islam, Said segera memenuhi panggilan beliau, menjadi pelopor orang-orang yang beriman dengan Allah dan membenarkan kerasulan Nabi-Nya, Muhammad SAW.

Tidak menghairankan jika Said secepat itu memperkenankan seruan Muhammad. Said lahir dan dibesarkan dalam rumahtangga yang mencela dan mengingkari kepercayaan dan adat istiadat orang-orang Quraisy yang sesat itu.

Said dididik dalam kamar seorang ayah yang sepanjang hidupnya giat mencari agama yang hak. Bahkan dia mati ketika sedang berlari kepayahan mengejar agama yang hak.

Said masuk Islam tidak seorang diri. Dia Islam bersama-sama isterinya, Fatimah binti Al-Khattab, adik perempuan Umar bin al-Khattab. Kerana pemuda Quraisy ini masuk Islam, beliau disakiti dan dianiaya, dipaksa oleh kaumnya supaya kembali kepada agama mereka. Sebaliknya Said dan isterinya sanggup menarik seorang laki-laki Quraisy yang paling baik dari segi fizikal dan mental itu masuk ke dalam Islam. Mereka berdualah yang telah menyebabkan Umar bin al-Khattab memeluk Islam.

Said bin Zaid bin 'Amr bin Nufayl membaktikan segenap daya dan tenaganya yang muda untuk berkhidmat kepada Islam. Ketika beliau masuk Islam, umurnya belum lebih dari dua puluh tahun. Beliau turut berperang bersama-sama Rasulullah dalam setiap peperangan, selain peperangan Badar kerana ketika itu beliau sedang melaksanakan suatu tugas penting lainnya yang ditugaskan oleh Rasulullah kepadanya. Beliau turut mengambil bahagian bersama-sama kaum Muslimin mencabut singgasana Kisra Parsi dan menggulingkan kekaisaran Rom. Dalam setiap peperangan yang dihadapi kaum Muslimin, Said selalu memperlihatkan penampilan dengan reputasi terpuji. Agaknya yang paling mengejutkan ialah reputasinya yang tercatat dalam peperangan Yarmuk. Berkata Said bin Zaid bin 'Amr bin Nufayl:

“Ketika terjadinya Perang Yarmuk, pasukan kami semuanya berjumlah 24.000 orang tentera. Sedangkan tentera Rom yang kami hadapi berjumlah 120.000 orang. Musuh bergerak ke arah kami dengan langkah-langkah yang mantap bagaikan sebuah bukit yang digerakkan tangan-tangan tersembunyi.

Di muka hadapan sekali berbaris pendeta-pendeta, perwira-perwira tinggi, panglima-panglima, dan Paderi-paderi yang membawa kayu salib sambil mengeraskan suara mereka membaca doa. Doa itu diulang-ulang oleh tentera yang berbaris di belakang mereka dengan suara yang keras. Tatkala tentera kaum Muslimin melihat musuh mereka seperti itu, kebanyakan mereka terkejut lalu timbul rasa takut di hati mereka.

Abu Ubaidah mengobarkan semangat jihad kepada mereka. Kata Abu Ubaidah dalam pidatonya antara lain, “Wahai hamba-hamba Allah! Menangkanlah agama Allah! Pasti Allah akan menolong kamu dan memberikan kekuatan kepada kamu! Wahai hamba-hamba Allah! Tabahkanlah hati kalian! Kerana ketabahan adalah jalan keluar dari kekafiran, jalan mencapai keredhaan Allah dan menolak kehinaan. Siapkan lembing dan perisai! Tetaplah tenang dan diam, kecuali dzikrullah (mengingat Allah) dalam hati masing-masing. Tunggulah perintah saya selanjutnya. Insya Allah!”

Kemudian Said melanjutkan ceritanya.

“Tiba-tiba seorang perajurit muslim keluar dan berkata kepada Abu Ubaidah, “Saya ingin syahid sekarang. Adakah pesan-pesan anda kepada Rasulullah?” Jawab Abu Ubaidah, “Ya, ada! Sampaikan salam saya dan salam kaum Muslimin kepada Baginda. Katakanlah kepada Baginda SAW, sesungguhnya kami mendapati apa yang dijanjikan oleh Tuhan kami benar-benar terbukti!”

Sesudah beliau mengucapkan kata-katanya itu, saya lihat beliau menghunus pedang dan terus maju menyerang musuh-musuh Allah. Saya membanting diri ke tanah, dan berdiri di atas lutut saya. Saya bidikkan lembing saya, lalu saya tikam seorang yang melompat menghadang musuh. Tanpa terasa, perasaan takut lenyap dengan sendirinya di hati saya. Tentera muslimin bangkit menyerbu tentera Rom. Perang berkecamuk segera, berkobar dengan hebat. Akhirnya Allah memberikan kemenangan kepada kaum Muslimin.”

Sesudah itu Said bin Zaid turut berperang menakluk Damsyik. Setelah kaum muslimin memperlihatkan kepatuhan, Abu Ubaidah bin Jarrah ra mengangkat Said menjadi Wali di sana. Dialah Wali kota pertama dari kaum Muslimin setelah kota itu dikuasai.

Di masa pemerintahan Bani Umayah, ada wanita yang mengatakan Said bin Zaid merampas tanahnya yang saling berbatasan. Tuduhan tersebut dibincangkan antara kaum Muslimin. Kemudian beliau mengadu kepada Marwan bin Hakam, Wali Kota Madinah ketika itu. Marwan mengirim beberapa petugas menanyakan kepada Said tentang tuduhan wanita tersebut. Sahabat Rasulullah ini merasa prihatin atas tuduhan yang dituduhkan kepadanya.

Kata Said, “Dia menuduh saya menzaliminya (merampas tanahnya yang berbatasan dengan tanah saya). Bagaimana mungkin saya menzaliminya, padahal saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengambil tanah orang lain walaupun sejengkal, nanti di hari kiamat Allah akan memikulkan tujuh lapis bumi kepadanya.” Wahai Allah! Dia menuduhkan saya menzaliminya. Seandainya tuduhan itu palsu, butakanlah matanya dan humbankan dia ke dalam telaga yang diperselisihkan dengan saya. Buktikanlah kepada kaum Muslimin sejelas-jelasnya bahawa tanah itu adalah hak saya dan bahwa saya tidak pernah menzaliminya.”

Tidak berapa lama kemudian, terjadi banjir yang belum pernah terjadi seperti itu sebelumnya. Maka terbukalah tanda batas antara tanah Said dan tanah Arwa (wanita tersebut) yang diperselisihkan. Kaum Muslimin memperoleh bukti bahwa Said lah yang benar, sedangkan tuduhan wanita itu palsu.

Hanya sebulan antaranya sesudah itu, wanita tersebut menjadi buta. Ketika dia sedang berjalan meraba-raba di tanah yang dipersengketakannya, dia pun jatuh ke dalam sumur. Kata Abdullah bin Umar, “Memang ketika kami masih kanak-kanak, kami mendengar orang berkata bila mengutuk orang lain; dibutakan Allah kamu seperti Arwa.”

Peristiwa itu sesungguhnya tidak begitu menghairankan. Kerana Rasulullah SAW pernah bersabda, “Takutlah kepada doa orang yang teraniaya. Kerana antaranya dengan Allah tiada hijab.” Maka apatah lagi andai yang teraniaya itu salah seorang dari sepuluh sahabat Rasulullah SAW yang telah dijamin masuk syurga; Saidina Said bin Zaid ra.

Allahu a'lam bissawab..

Saidina Abu Ubaidah bin Jarrah RA

Tuesday, May 17, 2011

Abu Ubaidah bin Jarrah ra

Orang Kepercayaan Umat Ini

Beliau termasuk orang yang pertama masuk Islam. Kualitinya dapat kita ketahui melalui sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin Jarrah."

Abu Ubaidah bin Jarah ra lahir di Mekah, di sebuah rumah keluarga suku Quraisy terhormat. Nama lengkapnya adalah Amir bin Abdullah bin Jarah yang dijulukan dengan nama Abu Ubaidah. Abu Ubaidah adalah seorang yang berperawakan tinggi, kurus, berwibawa, bermuka ceria, rendah diri dan sangat pemalu. Beliau termasuk orang yang berani ketika dalam kesulitan, beliau disenangi oleh semua orang yang melihatnya, siapa yang mengikutinya akan merasa tenang.

Abu Ubaidah termasuk orang yang masuk Islam dari sejak awal, beliau memeluk Islam selang sehari setelah Saidina Abu Bakar as-Siddiq ra memeluk Islam. Beliau masuk Islam bersama Abdurrahman bin ‘Auf, Uthman bin Mazun dan Arqam bin Abu al-Arqam, di tangan Abu Bakar as-Siddiq. Saidina Abu Bakarlah yang membawakan mereka menemui Rasulullah SAW untuk menyatakan syahadat di hadapan Baginda.

Kehidupan beliau tidak jauh berbeza dengan kebanyakan sahabat lainnya, diisi dengan pengorbanan dan perjuangan menegakkan agama Islam. Hal itu tampak ketika beliau harus berhijrah ke Ethiopia pada gelombang kedua demi menyelamatkan aqidahnya. Namun kemudian beliau balik kembali untuk menyertai perjuangan Rasulullah SAW.

Abu Ubaidah sempat mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah SAW. Beliaulah yang membunuh ayahnya yang berada di pasukan musyrikin dalam perang Uhud, sehingga ayat Al-Quran turun mengenai beliau seperti yang tertera dalam surah Al Mujadilah ayat 22, ertinya:

“Engkau tidak menemukan kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat yang mengasihi orang-orang yang menentang Allah SWT dan Rasulullah, walaupun orang tersebut ayah kandung, anak, saudara atau keluarganya sendiri. Allah telah menanamkan keimanan di dalam hati mereka dan mereka dibekali pula dengan semangat. Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka akan kekal di dalamnya. Akan menyenangi mereka, di pihak lain mereka pun senang dengan Allah. Mereka itulah perajurit Allah, ketahuilah bahawa perajurit Allah pasti akan berjaya.”

Masih dalam perang Uhud, ketika pasukan muslimin kucar kacir dan banyak yang lari meninggalkan pertempuran, lalu Abu Ubaidah berlari untuk mendapatkan Nabinya tanpa takut sedikit pun terhadap banyaknya lawan dan rintangan. Demi didapati pipi Nabi terluka, iaitu terhujamnya dua rantai besi penutup kepala beliau, segera ia berusaha untuk mencabut rantai tersebut dari pipi Nabi SAW.

Abu Ubaidah mulai mencabut rantai tersebut dengan gigitan giginya. Rantai itu pun akhirnya terlepas dari pipi Rasulullah SAW. Namun bersamaan dengan itu pula gigi seri Abu Ubaidah ikut terlepas dari tempatnya. Abu Ubaidah tidak peduli. Diulanginya sekali lagi untuk mengigit rantai besi satu lagi yang masih menancap dipipi Rasulullah SAW hingga terlepas. Dan kali ini pun harus juga diikuti dengan lepasnya gigi Abu Ubaidah sehingga dua gigi seri sahabat ini tercabut kerananya. Sungguh, satu keberanian dan pengorbanan yang tak terperi.

Gagah dan Jujur

Rasulullah SAW memberinya gelaran "Gagah dan Jujur". Suatu ketika datang sebuah delegasi dari kaum Nasrani menemui Rasulullah SAW. Mereka mengatakan, "Ya Abul Qassim! Kirimkanlah bersama kami seorang sahabatmu yang engkau percayai untuk menyelesaikan perkara kebendaan yang sedang kami bertengkarkan, kerana kaum muslimin pada pandangan kami adalah orang yang disenangi." Rasulullah SAW bersabda kepada mereka, "Datanglah ke sini petang nanti, saya akan kirimkan bersama kamu seorang yang 'gagah dan jujur'.."

Dalam perkara ini, Saidina Umar bin Al-Khattab ra mengatakan, "Saya berangkat mahu solat Zuhur agak awal, sama sekali bukan kerana ingin ditunjuk sebagai delegasi, tetapi karena memang saya senang pergi shalat awal-awal. Setelah Rasulullah selesai mengimami solat Zuhur bersama kami, beliau melihat ke kiri dan ke kanan. Saya sengaja meninggikan kepala saya agar beliau dapat melihat saya, namun beliau masih terus membalik-balik pandangannya kepada kami. Akhirnya beliau melihat Abu Ubaidah bin Jarrah, lalu beliau memanggilnya sambil bersabda, 'Pergilah bersama mereka, selesaikanlah masalah yang menjadi perselisihan di antara mereka dengan adil.' Lalu Abu Ubaidah pun berangkat bersama mereka."

Sepeninggalan Rasulullah SAW, Umar bin Al-Khattab ra mengatakan kepada Abu Ubaidah bin Jarah di hari Saqifah, "Hulurkan tanganmu! Agar saya baiat kamu, karena saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, 'Sungguh dalam setiap kaum terdapat orang yang jujur. Orang yang jujur di kalangan umatku adalah Abu Ubaidah.' Lalu Abu Ubaidah menjawab, “Saya tidak mungkin berani mendahului orang yang dipercayai oleh Rasulullah SAW menjadi imam kita di waktu solat (Saidina Abu Bakar as-Shiddiq ra), oleh sebab itu kita seharusnya membuatnya jadi imam sepeninggalan Rasulullah SAW.”

Antara lain dari kehebatan sahabat yang satu ini adalah kezuhudannya. Ketika kekuasaan Islam telah meluas dan kekhalifahan dipimpin oleh Saidina Umar ra, Abu Ubaidah menjadi pemimpin di daerah Syria. Saat Umar mengadakan kunjungan dan singgah di rumahnya, tak terlihat sesuatu pun oleh Umar ra kecuali pedang, perisai dan pelana tunggangannya. Umar pun lantas berujar, "Wahai sahabatku, mengapa engkau tidak mengambil sesuatu sebagaimana orang lain mengambilnya?"

Beliau menjawab, "Wahai Amirul Mukminin, ini saja sudah cukup menyenangkan."

Abu Ubaidah bin Jarrah ra ikut serta dalam semua peperangan Islam, bahkan selalu mempunyai sumbangan besar dalam setiap peperangan tersebut. Beliau berangkat membawa pasukan menuju negeri Syam, dengan izin Allah beliau berhasil menaklukan semua negeri tersebut.

Ketika wabak penyakit taun bermaharajalela di negari Syam, Khalifah Umar bin Al-Khattab ra mengirim surat untuk memanggil kembali Abu Ubaidah. Namun Abu Ubaidah menyatakan keberatannya sesuai dengan isi surat yang dikirimkannya kepada khalifah yang berbunyi,

"Hai Amirul Mukminin! Sebenarnya saya tahu, kalau kamu memerlukan saya, akan tetapi seperti kamu ketahui saya sedang berada di tengah-tengah tentera Muslimin. Saya tidak ingin menyelamatkan diri sendiri dari musibah yang menimpa mereka dan saya tidak ingin berpisah dari mereka sampai Allah sendiri menetapkan keputusannya terhadap saya dan mereka. Oleh sebab itu, sesampainya surat saya ini, tolonglah saya dibebaskan dari rencana baginda dan izinkanlah saya tinggal di sini."

Setelah Umar ra membaca surat itu, beliau menangis, sehingga para hadirin bertanya, "Apakah Abu Ubaidah sudah meninggal?" Umar menjawabnya, "Belum, akan tetapi kematiannya sudah di ambang pintu."

Sepeninggalan Abu Ubaidah ra, Saidina Muaz bin Jabal ra berpidato di hadapan kaum Muslimin yang berbunyi, "Hai sekalian kaum Muslimin! Kalian sudah dikejutkan dengan berita kematian seorang pahlawan, yang demi Allah saya tidak menemukan ada orang yang lebih baik hatinya, lebih jauh pandangannya, lebih suka terhadap hari kemudian dan sangat senang memberi nasihat kepada semua orang dari beliau. Oleh sebab itu kasihanilah beliau, semoga kamu akan dikasihani Allah."

Wafatnya Abu Ubaidah bin Jarrah ra

Menjelang kematian Abu Ubaidah ra, beliau memesankan kepada tenteranya, "Saya pesankan kepada kalian sebuah pesan. Jika kalian terima, kalian akan baik, 'Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, puasalah di bulan Ramadhan, berdermalah, tunaikanlah ibadah haji dan umrah, saling nasihat menasihatilah kalian, sampaikanlah nasihat kepada pimpinan kalian, jangan suka menipunya, janganlah kalian terpesona dengan keduniaan, kerana betapa pun seorang melakukan seribu upaya, beliau pasti akan menemukan kematiannya seperti saya ini. Sungguh Allah telah menetapkan kematian untuk setiap peribadi manusia, oleh sebab itu semua mereka pasti akan mati. Orang yang paling beruntung adalah orang yang paling taat kepada Allah dan paling banyak bekalnya untuk akhirat. Assalamu’alaikum warahmatullah."

Kemudian beliau melihat kepada Muaz bin Jabal ra dan mengatakan, "Ya Muaz! Imamilah solat mereka." Setelah itu, Abu Ubaidah ra pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Perjuangan

Jabir bin Abdullah pernah bercerita, "Suatu ketika Rasullah saw.mengutus kami dalam suatu peperangan yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bin Jarrah. Kami hanya dibekalkan dengan sekarung kurma untuk tiga ratus orang. Padahal perjalanan sungguh jauh dan melewati padang pasir yang luas dan tandus. Di tengah-tengah perjalanan, disaat tentara sudah mulai lapar, Abu Ubaidah membahagi-bahagikan makanan untuk satu orang satu genggam kurma. Namun disaat bekal sudah mulai habis Abu Ubaidah membahagi-bahaginya dengan satu kurma untuk satu orang.

Kurma yang satu itulah diisap-isap airnya sehingga menambah semangat kami dalam melanjutkan perjalanan. Tak lama kemudian bekalan pun habis, badan terasa letih, penat dan lapar. Namun perjalanan masih jauh. Akhirnya kami pun memilih jalan dekat pantai. Tiba-tiba disaat kami betul-betul lapar, kami memperdapati ada ikan besar yang sudah mati, mula-mula Abu Ubaidah melarang kami untuk memakannya. Akan tetapi, kerana keadaan sudah memaksa akhirnya kami pun memakannya, setelah itu kami melanjutkan perjalanan."

Perjuangan Abu Ubaidah bin Jarrah nampak juga kita lihat dari perkataan Umar bin Khattab. Pada suatu kesempatan Umar bin Khattab mengajukan pertanyaan kepada para sahabat, "Tunjukkan kepada saya cita-cita tertinggi kalian." Salah seorang dari mereka mengangkat tangan dan berkata, "Wahai Amirulmukminin sekiranya rumah ini penuh dengan emas, akan saya infakkan seluruhnya untuk jalan Allah."

Umar pun mengulangi pertanyaannya, "Apa masih ada yang lebih baik dari itu?", lantas sahabat yang lain pun menjawab, "Wahai Amirulmukminin sekiranya rumah ini dipenuhi dengan intan, emas dan permata, niscaya akan saya infakkan seluruhnya untuk Allah." Umar bin Khattab kembali bertanya dengan lafaz yang sama. Mereka pun serentak menjawab, "Wahai Amirulmukminin kami tidak tahu lagi apa yang terbaik dari itu." Umar bin Khathab kemudian menjelaskan, "Cita-cita yang terbaik adalah, seandainya ruangan ini Allah penuhi dengan pejuang muslim seperti Abu Ubaidah bin Jarrah yang jujur, adil dan bijaksana."

Menjelang wafatnya, Khalifah Umar pernah berkata, "Kalau Abu Ubaidah masih hidup maka aku akan menunjuknya sebagai khalifah penggantiku. Dan bila kelak Allah swt bertanya tentang apa sebabnya, maka aku akan menjawabnya, 'Aku memilih dia kerana dia seorang pemegang amanat umat dan pemegang amanat Rasulullah.'"
Allahu a'lam..

Saidina Sa'ad bin Abi Waqqas RA

Saturday, May 14, 2011

Saidina Sa'ad bin Abi Waqqas ra

Pelempar Panah Pertama Pada Jalan Allah

Siapakah dia singa yang menyembunyikan kukunya itu? Dan siapakah dia yang bila datang kepada Rasulullah ketika berada di antara shahabat-shahabatnya; akan disambutnya dengan ucapan selamat datang sambil bergurau, sabdanya: "Ini dia bapa saudarakuku! Siapa orang yang mempunyai bapa saudara seperti bapa saudaraku ini?" Itulah dia Sa'ad bin Abi Waqqas! Datuknya ialah Uhaib, putera dari Manaf yang menjadi bapa saudara daripada dari Aminah ibunda dari Rasulullah SAW.

Sa'ad masuk Islam sewaktu berusia l7 tahun, dan keislamannya termasuk yang terdahulu di antara para sahabat. Hal ini pernah diceritakannya sendiri, katanya:

"Pada suatu saat saya beroleh kesempatan termasuk tiga orang pertama yang masuk Islam." Maksudnya bahwa beliau adalah salah seorang di antara tiga orang yang paling awal masuk Islam.

Maka pada hari-hari pertama Rasulullah menjelaskan tentang Allah Yang Esa dan tentang agama baru yang dibawanya, dan sebelum beliau mengambil rumah al-Arqam untuk tempat pertemuan dengan sahabat-sahabatnya yang telah mulai beriman, Sa'ad bin Abi Waqqash telah mengulurkan tangan kanannya untuk bai'at kepada Rasulullah SAW.

Sementara itu buku-buku tarikh dan riwayat menceritakan kepada kita bahawa beliau termasuk salah seorang yang masuk Islam bersama dan atas hasil usaha Abu Bakar. Boleh jadi ia menyatakan keislamannya secara terang-terangan bersama orang-orang yang dapat diyakinkan oleh Abu Bakar, iaitu Uthman bin Affan, Zubair bin al-Awwam, Abdurrahman bin 'Auf dan Thalhah bin ‘Ubaidillah. Dan ini, tidak menutup kemungkinan bahwa ia lebih dulu masuk Islam secara sembunyi-sembunyi.

Banyak sekali keistimewaan yang dimiliki oleh Sa'ad ini, yang dapat ditonjolkan dan dibanggakannya. Tetapi di antara semua itu terdapat dua hal penting yang selalu menjadi dendang dan senandungnya. Pertama, bahawa beliaulah yang mula-mula melepaskan anak panah dalam membela agama Allah, dan juga orang yang mula-mula terkena anak panah. Dan kedua, bahwa beliau merupakan satu-satunya orang yang dijamin oleh Rasulullah dengan jaminan kedua orang tua beliau. Bersabdalah Rasulullah SAW di waktu perang Uhud, "Panahlah hai Sa'ad! Ibu bapaku menjadi jaminan bagimu."

Memang! Kedua ni'mat besar ini selalu menjadi dendangan Sa'ad buah syukurnya kepada Allah. Katanya, "Demi Allah sayalah orang pertama yang melepaskan anak panah di jalan Allah!" Dan berkata pula Ali bin Abi Thalib, "Tidak pernah saya dengar Rasulullah menyediakan ibu bapanya sebagai jaminan kepada seseorang, kecuali bagi Sa'ad. Saya dengar beliau bersabda waktu Perang Uhud, "Panahlah, hai Sa'ad Ibu bapakku menjadi jaminan bagimu."

Sa'ad termasuk seorang kesatria berkuda Arab dan Muslimin yang paling berani. Beliau mempunyai dua jenis senjata yang amat ampuh, iaitu panahnya dan doanya. Jika beliau memanah musuh dalam peperangan, pastilah akan mengenai sasarannya, dan jika beliau menyampaikan suatu permohonan kepada Allah pastilah dikabulkan-Nya. Menurut Sa'ad sendiri dan juga para sahabatnya, hal itu adalah disebabkan doa Rasulullah juga bagi peribadinya. Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW menyaksikan dari Sa'ad sesuatu yang menyenangkan dan berkenan di hati beliau, diajukanlah doa yang maqbul ini, "Ya Allah, tepatkanlah bidikan panahnya, dan kabulkanlah doanya."

Demikianlah beliau terkenal di kalangan saudara-saudara dan handai taulannya bahawa doanya tak ubah bagai pedang yang tajam. Hal ini juga disedari sepenuhnya oleh Saad sendiri, hingga beliau enggan berdoa bagi kerugian seseorang, kecuali dengan menyerahkan urusannya kepada Allah Ta'ala. Sebagai contoh ialah peristiwa yang diriwayatkan oleh 'Amir bin Sa'ad.

"Sa'ad mendengar seorang laki-laki memaki Ali, Thalhah dan Zubayr. Ketika dilarangnya, orang itu enggan menurut. Maka katanya, 'Kalau begitu saya do’akan kamu kepada Allah' Ujar laki-laki itu, 'Rupanya kamu hendak menakut-nakutkan aku, seolah-olah kamu seorang Nabi.' Maka Sa'ad pun pergi berwudhu dan shalat dua raka'at. Lalu diangkatlah kedua tangannya, katanya, 'Ya Allah, kiranya menurut ilmu-Mu laki-laki ini telah memaki segolongan orang yang telah beroleh kebaikan dari-Mu, dan tindakan mereka itu mengundang amarah murka-Mu, maha mohon dijadikan hal itu sesuatu pertanda dan suatu pelajaran!'"

"Tidak lama kemudian, tiba-tiba dari salah satu pekarangan rumah, muncul seekor unta liar dan tanpa dapat dibendung masuk ke dalam lingkungan orang banyak seolah-olah ada yang dicarinya. Lalu diterjangnya laki-laki tadi dan dibawanya ke bawah kakinya, serta beberapa lama menjadi bulan-bulanan injakan dan sepakannya hingga akhirnya tewas menemui ajalnya!"

Kenyataan ini pertama kali mengungkapkan kebeningan jiwa, kebenaran iman dan keikhlasannya yang mendalam. Begitu pula Sa'ad, jiwanya adalah jiwa merdeka, keyakinannya keras membaja serta keikhlasannya dalam dan tidak bernoda. Dan untuk menopang ketaqwaannya ia selalu memakan yang halal, dan menolak dengan keras setiap dirham yang mengandung subhat.

Dalam kehidupan akhirnya Sa'ad termasuk Kaum Muslimin yang kaya dan berharta. Waktu wafat, ia meninggalkan kekayaan yang tidak sedikit. Tapi kalau biasanya harta banyak dan harta halal jarang sekali dapat terhimpun; maka di tangan Sa'ad hal itu telah terjadi. Ia dilimpahi harta yang banyak, yang baik dan yang halal sekaligus. Di samping itu ia dapat dijadikan seorang mahaguru pula dalam soal membersihkan harta. Dan kemampuannya dalam mengumpulkan harta dari barang bersih lagi halal, diimbangi bahkan mungkin diatasi oleh kesanggupan menafqahkannya di jalan Allah.

Ketika Hajji Wada', Sa'ad ikut bersama Rasulullah SAW. Kebetulan beliau jatuh sakit, maka Rasulullah datang menziarahinya. Tanya Sa'ad, "Wahai Rasulullah, saya punya harta dan ahli warisku hanya seorang puteri saja. Bolehkah saya sedekahkan dua pertiga hartaku?"
"Tidak," jawab Nabi. "Kalau begitu, separuhnya?" tanya Sa'ad pula. "Jangan," ujar Nabi. "Jadi, sepertiganya?" "Benar," ujar Nabi, "Dan sepertiga itupun sudah banyak. Lebih baik anda meninggalkan ahli waris dalam keadaan mampu daripada membiarkannya dalam keadaan miskin dan menadahkan tangannya kepada orang lain. Dan setiap nafqah yang anda keluarkan dengan mengharap keredhaan Allah, pastilah akan diberi ganjaran, bahkan walau sesuap makanan yang anda taruh di mulut isteri anda!" Beberapa lama Sa'ad hanya mempunyai seorang puteri. Tetapi setelah peristiwa di atas, beliau beroleh lagi beberapa orang putera.

Saidina Umar ra tidak lupa akan kisah Sa'ad dengan ibunya sewaktu beliau masuk Islam dan mengikuti Rasulullah SAW. Ketika itu segala usaha ibunya untuk membendung dan menghalangi puteranya dari agama Allah mengalami kegagalan. Maka segala jalan yang tak dapat tidak, pasti akan melemahkan semangat Sa'ad dan akan membawanya kembali ke pangkuan agama berhala dan kepada kaum kerabatnya. Wanita itu menyatakan akan mogok makan dan minum sampai Sa'ad bersedia kembali ke agama nenek moyang dan kaumnya. Rencana itu dilaksanakannya dengan tekad yang luar biasa, ia enggan menjamah makanan atau minuman hingga hampir menemui ajalnya. Tetapi Sa'ad tidak terpengaruh oleh hal tersebut, bahkan beliau tetap pada pendiriannya, beliau tidak menjual agama dan keimanannya dengan sesuatu pun, bahkan walau dengan nyawa ibunya sekali pun.

Ketika keadaan ibunya telah demikian gawat beberapa orang keluarganya membawa Sa'ad kepadanya untuk menyaksikannya kali yang terakhir, dengan harapan hatinya akan menjadi lunak jika melihat ibunya megahdapai sakaratul maut. Sesampainya di sana, Sa'ad menyaksikan suatu pemandangan yang amat menghancurkan hatinya yang bagaikan dapat menghancurkan baja dan meluluhkan batu karang. Tapi keimanannya terhadap Allah dan Rasul mengatasi baja dan batu karang mana pun jua. Didekatkan wajahnya ke wajah ibunya dan dikatakannya dengan suara keras agar kedengaran olehnya.

"Demi Allah ketahuilah wahai ibunda, seandainya bunda mempunyai seratus nyawa, lalu ia dicabutr satu persatu, tidaklah anak anda akan meninggalkan agama ini walau ditebus dengan apa pun juga! Maka terserahlah kepada bunda, apakah bunda akan makan atau tidak!"

Akhirnya ibunya berputus asa, dan turunlah wahyu menyokong pendirian Sa'ad serta mengucapkan selamat kepadanya, sebagai berikut, "Dan seandainya kedua orang tua memaksamu untuk mempersekutukan Aku, padahal itu tidak sesuai dengan pendapatmu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya!" (QS Luqman: l5)

Sa'ad bin Abi Waqqas adalah pahlawan perang terkenal dan seorang panglima Arab yang memainkan peranan penting dalam pertempuran Badar dan Uhud serta usaha-usaha berikutnya. Ketika Muthana, komandan pasukan Muslim di al-Hira (Iraq) setelah keberangkatan Khalid bin al-Walid ke Syria, meminta bantuan pasukan untuk menghadapi ancaman gerombolan Parsi yang semakin bertambah, Khalifah Islam kedua (Umar bin al-Khattab ra) berkeinginan memimpin sendiri pasukan bantuan itu. Sebuah pasukan berkumpul di Madinah dan Umar ingin maju ke medan perang sebagai komandan dan pasukan tersebut.

Semangat yang menggelora menyelimuti pasukan itu. Tapi beliau dicegah oleh sahabat-sahabatnya yang berpendapat agar kekuasaan pusat harus selalu berada di ibu kota. Akhirnya Sa'ad bin Abi Waqqas dipilih untuk mengambil alih tampuk kepemimpinan. Seluruh perjuangan di Iraq direncanakan sendiri oleh Sang Khalifah yang setiap hari diberitahu perkembangan situasi perang.

Sa'ad bin Abi Waqqas, sahabat Nabi SAW yang terpercaya ini maju dengan 20 000 pasukan. Sebanyak kurang lebih 400 sahabat Nabi berserta 700 putera mereka turut dalam pasukannya. Sa'ad bin Abi Waqqas maju ke Kadessia, di mana pasukan-pasukan Parsi di bawah panglima mereka yang termasyhur, Rustam, mendirikan khemahnya yang berdekatan letaknya. Di tempat ini, pada masa musim panas tahun 637 M, sebuah pertempuran yang patut dicatat berlangsung sebagai pejuang sejati, memperagakan tindakan-tindakan yang gagah berani dan berjaya melemahkan serta mengacaukan pasukan musuh. Karena sakit, Sa'ad bin Abi Waqqas tidak mampu terjun sendiri ke kancah pertempuran. Tetapi dengan kecekapan dan keahliannya sebagai komandan, ia dapat memimpin seluruh operasi dari bahagian atas sebuah rumah yang terletak di pinggir medan perang.

Khalifah Umar bin al-Khattab, Khalifah Islam kedua, sangat was-was akan hasil perang Kadessia. Biasanya di luar Madinah beliau menunggu seseorang yang datang secara teratur memberinya laporan mengenai keadaan medan perang. Akhirnya, pada suatu hari, beliau memperoleh kabar kemenangan dari seorang penunggang unta. Sang Khalifah yang tidak mahu menyebutkan namanya, segera mengikuti si penunggang unta tersebut untuk memeriksa kebenaran berita yang dibawa itu. Baru kemudian disebarkan berita tentang kemenangannya itu kepada masyarakat yang berkumpul di Masjid Nabi.

Pada masa pemerintahan Gabenor Sa'ad bin Abi Waqqas, pemukiman Arab di Kufah mula dibangunkan. Kawasan ini kemudiannya berkembang menjadi kota penting dan makmur serta menjadi pusat ketenteraan dan kesusasteraan.

Sayidina Umar ra di samping pembaringannya, sebelum meninggal, beliau menunjukkan Sa'ad bin Abi Waqqas sebagai salah seorang dari enam sahabat Nabi SAW yang terpercaya untuk memilih khalifah penggantinya. Saidina Uthman bin Affan ra, khalifah ketiga dalam Islam, mengangkat Sa'ad bin Abi Waqqash kembali menjadi Gabenor di Kufah.

Sa'ad bin Abi Waqqas mengundurkan diri ke Akik pada masa kekhalifahan Ali bin Abu Thalib ra, serta menghabiskan masa tuanya dengan tenang dan damai hingga ajalnya pada tahun 500 H (670 M) pada usia 70 tahun, dan beliau dikebumikan di Madinah.
Allahu a'lam.

Saidina Abdurrahman bin 'Auf RA

Wednesday, May 11, 2011

Saidina Abdurrahman bin 'Auf ra

Saudagar Yang Berniaga Dengan Allah

Saidina Abdurrahman bin 'Auf ra termasuk dalam kelompok lapan orang yang mula-mula memeluk Islam; termasuk dalam kelompok sepuluh yang diberi khabar gembira oleh Rasulullah SAW masuk syurga; termasuk enam orang sahabat yang bermusyawarah (sebagai formatur) dalam pemilihan khalifah sesudah 'Umar bin Khattab al-Faruq; dan seorang mufti yang dipercayai Rasulullah berfatwa di Madinah selagi beliau masih hidup di tengah-tengah masyarakat kaum muslimin.

Namanya pada masa jahiliyah ialah 'Abd 'Amr. Setelah masuk Islam, Rasulullah memanggilnya Abdurrahman. Itulah beliau Abdurrahman bin 'Auf radhiyallahu 'anhu. Abdurrahman bin 'Auf masuk Islam sebelum Rasulullah masuk ke rumah Al-Arqam, iaitu dua hari sesudah Abu Bakar Al-Siddiq masuk Islam.

Sama halnya dengan kelompok kaum muslimin yang mula-mula masuk Islam, Abdurrahman pun tidak terlepas dari penyiksaan dan tekanan kaum kafir Quraisy. Tetapi beliau sabar dan tetap bersabar. Pendiriannya teguh dan sentiasa teguh. Beliau menghindar dari kekejaman kaum kafir Quraisy, tetapi selalu setia dan patuh membenarkan risalah Muhammad SAW. Kemudian beliau turut berhijrah ke Habsyah bersama-sama kawan se-iman untuk menyelamatkan diri dan agama dari tekanan kaum kafir Quraisy yang sentiasa menzalimi mereka.

Tatkala Rasulullah SAW dan para sahabat beliau diizinkan Allah berhijrah ke Madinah, Abdurrahman menjadi pelopor orang-orang yang berhijrah kerana dan untuk Allah dan Rasul-Nya. Dalam perantauan, Rasulullah mempersaudarakan orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar. Maka Abdurrahman bin Auf dipersaudarakan beliau dengan Sa'ad ibnu Rabi' al Ansari ra.

Pada suatu hari Sa'ad berkata kepada saudaranya, “Wahai saudaraku Abdurrahman! Aku termasuk orang kaya di antara penduduk Madinah. Hartaku banyak. Saya mempunyai dua bidang kebun yang luas dan dua orang pembantu. Pilihlah olehmu salah satu di antara kedua kebunku itu, ku berikan kepadamu mana yang kamu sukai. Begitu pula salah seorang di antara kedua orang pembantuku, akan ku serahkan mana yang kamu senangi, kemudian aku kawinkan engkau dengan beliau.”

Jawab Abdurrahman bin 'Auf, “Semoga Allah melimpahkan berkah-Nya kepada saudara, kepada keluarga saudara, dan kepada harta saudara. Saya hanya akan minta tolong kepada saudara untuk menunjukkan di mana letaknya pasar Madinah ini.”

Sa'ad menunjukkan pasar tempat berjual beli kepada Abdurrahman. Maka bermulalah Abdurrahman berniaga di sana. Setelah berapa lama beliau berdagang, terkumpullah wang sekadar cukup untuk mahar kahwin. Beliau datang kepada Rasulullah memakai harum-haruman. Beliau menyambut kedatangan Abdurrahman seraya berkata,

“Wah. Alangkah wanginya kamu, hai Abdurrahman.”
Kata Abdurrahman, “Saya hendak bernikah, ya Rasulullah.”
Tanya Rasulullah, “Apakah mahar yang kamu berikan kepada istrimu?”
Jawab Abdurrahman, “Emas seberat biji kurma.”
Sabda Rasulullah, “Adakan kenduri, walau hanya dengan menyembelih seekor kambing. Semoga Allah memberkati pernikahan dan harta kamu.”

Kata Abdurrahman, “Sejak itu dunia datang menghadap kepadaku (hidupku makmur dan bahagia). Hingga seandainya aku angkat sebuah batu, maka di bawahnya kudapati emas dan perak.”

Dalam Perang Badar Abdurrahman turut berjihad fisabilillah, dan beliau berjaya menewaskan musuh-musuh Allah, antaranya ialah 'Umair bin Uthman bin Ka'ab at-Taimy. Dalam perang Uhud beliau tetap teguh bertahan di samping Rasulullah, ketika tentara muslimin banyak yang meninggalkan barisan hadapan. Ketika selesai perang, dan kaum muslimin keluar sebagai pemenang, Abdurrahman mendapat hadiah sembilan luka parah menganga di tubuhnya, dan dua puluh luka-luka kecil. Walaupun luka kecil, namun di antaranya ada yang sedalam anak jari. Sungguh pun begitu, perjuangan dan pengorbanan Abdurrahman di medan tempur jauh lebih kecil bila dibandingkan dengan perjuangan dan pengorbanannya dengan harta benda.

Pada suatu hari Rasulullah SAW berpidato membangkitkan semangat jihad dan pengorbanan kaum muslimin. Beliau berdiri di tengah-tengah para sahabat. Kata beliau antara lain, “Bersedekahlah tuan-tuan! Saya hendak mengirim suatu pasukan ke medan perang.”

Mendengar ucapan Rasulullah tersebut, Abdurrahman bergegas pulang ke rumahnya dan cepat kembali ke hadapan Rasulullah di tengah-tengah kaum muslimin. Katanya, “Ya, Rasulullah! Saya mempunyai wang empat ribu. Dua ribu saya pinjamkan kepada Allah, dan dua ribu saya tinggalkan untuk keluarga saya.” Lalu wang yang dibawanya dari rumah diserahkannya kepada Rasulullah dua ribu.

Sabda Rasulullah, “Semoga Allah melimpahkan berkat-Nya kepadamu, terhadap harta yang kamu berikan, dan semoga Allah memberkati pula harta yang kamu tinggalkan untuk keluargamu.”

Ketika Rasulullah bersiap untuk menghadapi Perang Tabuk beliau memerlukan sejumlah dana dan tentara yang banyak, kerana jumlah tentara musuh, yaitu tentara Rom sangat ramai. Di samping itu di Madinah tengah mengalami musim panas. Perjalanan ke Tabuk sangat jauh dan sulit. Dana yang tersedia hanya sedikit. Begitu pula haiwan kenderaan yang tidak mencukupi.

Banyak di antara kaum muslimin yang kecewa sedih kerana ditolak Rasulullah menjadi tentera yang akan turut berperang. Sebab kenderaan untuk mereka tidak mencukupi. Mereka yang ditolak itu pulang kembali dengan air mata bercucuran kesedihan, kerana mereka tidak mempunyai apa-apa untuk disumbangkannya. Mereka yang tidak diterima itu terkenal dengan nama “Al-Bakkaain” (orang yang menangis). Dan pasukan yang berangkat terkenal dengan sebutan “ Jaisyul 'Usrah” (pasukan susah).

Kerana itu Rasulullah memerintahkan kaum muslimin mengorbankan harta benda mereka untuk berjihad fisabilillah. Dengan patuh dan setia kaum muslimin memperkenankan seruan Nabi yang mulia. Abdurrahman turut mempelopori dengan menyerahkan dua ratus uqiyah emas. Maka kata 'Umar bin Khattab berbisik kepada Rasulullah, “Agaknya Abdurrahman berdosa, tidak meninggalkan wang belanja sedikit juga untuk isterinya.”

Rasulullah bertanya kepada Abdurrahman, “Adakah engkau tinggalkan untuk wang belanja isterimu?”

Jawab Abdurrahman, “Ada! Mereka saya tinggalkan lebih banyak dan lebih baik daripada yang saya sumbangkan.”

Tanya Rasulullah, Berapa?”

Jawab Abdurrahman, “Sebanyak rezeki, kebaikan, dan upah yang dijanjikan Allah.”

Pasukan muslimin berangkat ke Tabuk. Allah memuliakan Abdurrahman dengan kemuliaan yang belum pernah diperoleh kaum muslimin seorang jua pun, iaitu ketika waktu solat sudah masuk. Rasulullah terlambat hadir. Maka Abdurrahman menjadi imam solat berjamaah bagi kaum muslimin waktu itu. Setelah hampir selesai rakaat pertama, Rasulullah tiba, lalu beliau solat di belakang Abdurrahman dan mengikuti sebagai makmum. Apakah lagi yang lebih mulia dan utama dari menjadi Imam bagi pemimpin umat dan pemimpin para Nabi, yaitu Muhammad Rasulullah SAW.

Setelah Rasulullah SAW wafat, Abdurrahman bin 'Auf bertugas menjaga kesejahteraan dan keselamatan Ummahatul Mu'min (para isteri Rasulullah). Beliau bertanggungjawab memenuhi segala kebutuhan mereka dan mengadakan pengawalan bagi ibu-ibu yang mulia itu bila bepergian. Apabila para ibu tersebut pergi haji, Abdurrahman turut pula bersama-sama mereka. Beliau yang menaikkan dan menurunkan para ibu itu ke atas haudaj (penutup) khusus mereka. Itulah salah satu bidang khusus yang ditangani Abdurrahman. Beliau pantas bangga dan bahagia dengan tugas dan kepercayaan yang dilimpahkan para ibu orang-orang mukmin kepadanya.

Salah satu bukti yang dibaktikan Abdurrahman kepada ibu-ibu yang mulia, ia pernah membeli sebidang tanah berharga empat ribu dinar. Lalu tanah itu dibahagi-bahagikannya kepada fakir miskin Bani Zuhrah, dan kepada para ibu-ibu orang mukmin, isteri Rasulullah. Ketika jatah Saidatina Aisyah ra disampaikan orang kepadanya, ibu yang mulia itu bertanya, “Siapa menghadiahkan tanah itu buat saya?”

“Abdurrahman bin 'Auf, jawab orang itu.

Kata Ibu 'Aisyah ra, “Rasulullah SAW pernah bersabda; Tidak ada orang yang kasihan pada kalian sepeninggalku, kecuali orang-orang yang sabar.”

Begitulah doa Rasulullah bagi Abdurrahman selalu melindunginya sepanjang hidupnya, sehingga Abdurrahman menjadi orang terkaya di antara para sahabat. Perniagaannya selalu meningkat dan berkembang. Kafilah dagangnya terus menerus hilir mudik dari dan ke Madinah mengangkut gandum, tepung, minyak, pakaian, barang pecah belah, wangi-wangian dan segala kebutuhan penduduk.

Pada suatu hari iring-iringan kafilah dagang Abdurrahman, terdiri dari tujuh ratus unta bermuatan sarat tiba di Madinah. Semuanya membawa pangan, sandang dan barang-barang lain keperluan penduduk. Ketika mereka masuk kota, bumi seolah-olah bergegar. Terdengar suara gemuruh dan hiruk pikuk. Sehingga ibu 'Aisyah bertanya, “Suara apa yang hiruk pikuk itu?”

Dijawab orang, “Kafilah Abdurrahman dengan iring-iringan tujuh ratus ekor unta bermuatan sarat membawa pangan dan sandang serta lain-lainnya.

Kata Ibu 'Aisyah ra, “Semoga Allah melimpahkan berkat-Nya bagi Abdurrahman dengan baktinya di dunia, serta pahala yang besar di akhirat. Saya mendengar Rasulullah bersabda, “Abdurrahman bin Auf masuk syurga dengan merangkak (kerana syurga sudah dekat sekali kepadanya).”

Sebelum menghentikan iring-iringan unta, seseorang pembawa berita mengatakan kepada Abdurrahman berita gembira yang disampaikan Ibu 'Aisyah, bahawa Abdurrahman masuk syurga. Serentak mendengar berita itu, bagaikan terbang beliau pergi menemui Saidatina 'Aisyah. Katanya, “Wahai Ibu, apakah Ibu mendengar sendiri ucapan itu diucapkan Rasulullah?”

Jawab Ibu 'Aisyah, “Ya, saya mendengar sendiri!” Abdurrahman melonjak kegirangan. Katanya, “Seandainya aku sanggup, aku akan memasukinya sambil berjalan. Sudilah Ibu menyaksikan, kafilah ini dengan seluruh kenderaan dan muatannya kuserahkan untuk jihad fisabilillah.”

Sejak berita yang membahagiakan, bahwa Abdurrahman pasti masuk syurga, maka semangatnya semakin memuncak mengorbankan kekayaannya di jalan Allah. Hartanya dinafkahkan dengan kedua belah tangan, baik secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan, sehingga mencapai 40.000 dirham perak. Kemudian menyusul pula 40.000 dinar emas. Sesudah itu beliau bersedekah lagi 200 uqiyah emas. Lalu diserahkannya pula 500 ekor kuda kepada para pejuang yang lain.

Tatkala beliau hampir meninggal dunia, dimerdekakannya sejumlah besar budak yang dimilikinya. Kemudian diwasiatkan supaya memberi 400 dinar emas kepada para pejuang Badar. Mereka berjumlah seratus orang, dan semua mengambil bagiannya masing-masing. Beliau berwasiat pula supaya memberikan hartanya yang paling mulia untuk para ibu-ibu orang mukmin, sehingga Ibu 'Aisyah sering mendoakan, “Semoga Allah memberinya minum dengan minuman dari telaga Salsabil.”

Di samping itu beliau meninggalkan warisan pula untuk ahli warisnya sejumlah harta. Beliau meninggalkan kira-kira 1.000 ekor unta, 100 ekor kuda, 300 ekor kambing. Beliau beristri empat orang. Masing-masing mendapat pembagian khusus 80.000. Di samping itu masih ada peninggalannya berupa emas dan perak, yang kalau dibahagi-bahagikan kepada ahli warisnya dengan mengampak, maka potongan-potongannya cukup menjadikan seorang ahli warisnya menjadi kaya-raya.

Walaupun begitu kaya-rayanya, namun harta kekayaannya itu seluruhnya tidak mempengaruhi jiwanya yang penuh iman dan taqwa. Apabila beliau berada di tengah-tengah budak-budaknya, orang tidak dapat membezakan di antara mereka, mana yang majikan dan mana budak.

Berbahagialah Abdurrahman bin 'Auf dengan ribuan kurnia dan kebahagiaan yang diberikan Allah kepadanya. Rasulullah SAW yang ucapannya selalu terbukti benar, telah memberinya khabar gembira dengan syurga Jannatun Na'im.

Telah turut menghantar jenazahnya ke tempat terakhir di dunia, antara lain sahabat mulia Sa'ad bin Abi Waqqas. Solat jenazah turut dihadiri pula antara lain, Dzun Nurain 'Uthman bin 'Affan. Kata sambutan saat pemakaman, Amirul Mukminin 'Ali bin Abi Thalib Karamallahu Wajhah.

Dalam kata sambutannya antara lain 'Ali berkata: “Anda telah mendapatkan kasih sayang Allah, dan Anda telah berhasil menundukkan kepalsuan dunia.”

Subhannallah, demikian mulia perilaku dan keimanan para sahabat Rasulullah SAW.
Allahu a'lam..

Saidina Zubair ibn al-Awwam RA

Tuesday, May 10, 2011

Saidina Zubair ibn al-Awwam ra

Abu 'Abd Allah Zubayr ibn al-Awwam (bahasa Arab: أبو عبدالله زبير ابن العوام‎) adalah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Beliau merupakan salah seorang "mubasyirin bil-jannah" (sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga). Beliau merupakan salah seorang pejuang yang hebat. Bersama dengan Khalid Al-Walid, mereka berdua sahaja yang berkeupayaan untuk berperang dengan dua pedang dalam satu masa, walaupun ketika menunggang kuda.

Biografi

Zubair berasal dari Bani Asad, merupakan anak kepada Awwam ibn Khuwailid dan Saffiyah binti Abd Al-Muttalib. Zubair berkahwin dengan Asma binti Abu Bakar. Hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki iaitu, Abdullah ibn Zubair, Urwah ibn Zubair dan Ursa ibn Zubair.

Zubair memeluk Islam ketika berumur 15 tahun. Semasa Zubair memeluk Islam, diceritakan bahawa bapa saudaranya pernah menghukum beliau dengan membalutnya di dalam tikar lalu kakinya digantung di atas dan di bawah kepalanya api yang membara. Bapa saudaranya Naufil memaksanya kembali menyembah berhala, tetapi walaupun disiksa berkali-kali, Zubair menegaskan "Saya tidak akan kafir kembali sama sekali!"

Perajurit Allah Pengiring Rasulullah

Antara Thalhah dan Zubair adalah dua serangkai. Bila yang seorang disebut maka yang kedua pun disebut. Mereka sama-sama beriman pada tahun yang sama dan wafat dalam tahun yang sama pula. Kedua-duanya tergolong dalam sepuluh orang yang "mubasyarin bil jannah".

Zubair masuk Islam ketika berusia usia lima belas tahun dan beliau berhijrah ketika berusia lapan belas tahun sesudah menderita penganiayaan dan siksaan bertubi-tubi kerana mempertahankan keimanannya. Bapa saudaranya sendirilah yang menyiksanya. Zubair digulung ke dalam tikar, lalu kakinya digantung diatas dan dibawah kepalanya ditaruh api yang membara. Bapa saudaranya berkata, "Kembali kamu kepada penyembahan berhala !" Tapi Zubair menjawab, "Saya tidak akan kembali kafir lagi sama sekali."

Ibnu Asakir telah mengeluarkan dari Said bin Al-Musaiyib, dia berkata: Orang pertama yang menghunus pedang fisabilillah ialah Zubair bin Al-Awwam ra. Pada suatu hari, sedang dia sibuk dengan kerjanya, tiba-tiba terdengar olehnya desas-desus bahawa Rasulullah SAW telah dibunuh orang.

Zubair tidak membuang masa lagi, lalu mengambil pedangnya keluar mencari-cari sumber berita itu. Di tengah jalan dia bertemu dengan Rasulullah SAW yang sedang berjalan, wajahnya terpegun. Rasulullah SAW lalu bertanya: “Mengapa engkau wahai Zubair, terkejut?”

Jawabnya: “Aku dengar berita, bahawa engkau telah dibunuh orang!” Rasulullah SAW juga terkejut, lalu berkata: “Kalau aku dibunuh orang, maka apa yang hendak engkau buat?” Jawab Zubair: “Aku akan menentang semua orang Makkah, kerana itu!” Rasulullah SAW lalu mendoakan segala yang baik-baik baginya.

Ibnu Asakir dan Abu Nuaim memberitakan dari Urwah bahwa Zubair bin Al-Awwam pernah mendengar bisikan syaitan yang mengatakan bahawa Muhammad SAW telah dibunuh dan ketika itu Zubair baru saja berusia dua belas tahun. Zubair lalu mengambil pedangnya, dan berkeliaran di lorong-lorong Makkah mencari Nabi SAW yang ketika itu berada di daerah tinggi Makkah, sedang di tangan Zubayr pedang yang terhunus.

Apabila dia bertemu dengan Nabi SAW, Baginda bertanya: “Kenapa engkau dengan pedang yang terhunus itu hai Zubair?” Beliau menjawab: “Aku dengar engkau dibunuh orang Makkah.”

Rasulullah SAW tersenyum, lalu bertanya lagi: “Apa yang hendak engkau perbuat, jika aku terbunuh?” Maka jawab Zubair: “Aku akan menuntut balas akan darahmu kepada siapa yang membunuhmu!”

Rasulullah SAW lalu mendoakan bagi Zubair dan bagi pedangnya, kemudian menyuruhnya kembali saja. Maka itu dianggap sebagai pedang pertama yang terhunus fisabilillah. (Kanzul Ummal 5:69; Al-Ishabah 1:545)

Zubair adalah perajurit dakwah yang menyandang senjata untuk melawan orang-orang yang menghendaki gugurnya dakwah Islamiah selagi dalam kandungan. Kepahlawanannya telah tampak pertama kali ketika waktu perang Badar. Dalam peperangan itu, pasukan Quraisy menempatkan pahlawannya di barisan paling hadapan yang dipimpin oleh Ubaidah bin Said Ibnul Aash. Beliau dikenal sebagai seorang yang paling berani, paling pandai dalam menunggang kuda dan paling kejam terhadap lawan. Kaum Quraisy sengaja menempatkannya di barisan terdepan untuk menentang pahlawan-pahlawan berkuda kaum muslimin.

Zubair segera memandang ke arah Ubaidah. Ternyata seluruh tubuhnya berbalut senjata (baju besi) sehingga sulit ditembus dengan senjata. Yang tampak dari Ubaidah hanya kedua matanya saja. Zubair berpikir bagaimana caranya mengalahkan musuhnya yang berbaju besi itu dan ia menemukan cara yang jitu. Setelah siap, Zubair terjun kemedan pertempuran dan terjadilah perang tanding yang seru sekali.

Dalam dua kali putaran Zubair mengarahkan lembingnya ke mata Ubaidah dan berhasil menusuk kedua mata itu sampai ke belakang kepalanya. Ubaidah, pendekar Quraisy itu berteriak dan jatuh tersungkur tanpa gerak. Menyaksikan terbunuhnya Ubaidah yang tragis ini, barisan kaum musyrikin ketakutan. Lembing milik Zubayr kemudian diminta oleh Rasulullah SAW. Lembing itu kemudian berada di tangan Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan Abdullah ibnu Zubayr meminta lembing itu untuk disimpannya. Terbunuhnya pendekar Quraisy Ubaidah menambah semangat juang umat Islam dalam setiap peperangan dan mereka selalu dapat memenangkannya.

Yunus menyebut dari Ibnu Ishak, bahawa Talhah bin Abu Talhah Al-Abdari, pembawa bendera kaum Musyrikin pada hari Uhud telah mengajak perang tanding, tetapi tiada seorang pun yang mau keluar menemuinya. Maka Zubair bin Al-Awwam ra keluar untuk menghadapinya.

Mereka berdua bertarung sampai Zubair melompat ke atas untanya, dan menariknya jatuh ke atas tanah, dan di situ dia bertarung dengan Talhah, sehingga akhirnya Zubair dapat mengalahkan Talhah dan membunuhnya dengan pedangnya. Lantaran itu Rasulullah SAW telah berkata: “Tiap-tiap Nabi ada pengiringnya, dan pengiringku ialah Zubair.” Kemudian Baginda berkata lagi: “Kalau Zubair tidak keluar melawannya, nescaya aku sendiri yang akan keluar dan melawannya, karena melihat banyak orang yang tidak sanggup melawannya.2 (Al-Bidayah Wan-Nihayah 4:20)

Yunus memberitakan lagi dari Ibnu Ishak yang berkata: Pada hari pertempuran Khandak, telah keluar Naufal bin Abdullah bin Al-Mughirah Al-Makhzumi seraya mengajak untuk lawan tanding. Maka segera keluar menghadapinya Zubair bin Al-Awwam ra. dan melawannya sehingga dia dapat membelah tubuh musuhnya menjadi dua, sehingga pedangnya menjadi tumpul. (Al-Bidayah Wan-Nihayah 4:107)

Ibnu Jarir telah mengeluarkan dari Asma binti Abu Bakar ra, bahawa beliau berkata:

Telah datang seorang Musyrik yang lengkap dengan senjatanya, dia lalu mendaki di sebuah tempat yang tinggi, seraya berteriak: “Siapa yang mau bertanding dengan aku!” Rasulullah SAW berkata kepada seseorang di situ: “Boleh engkau bertanding dengan dia?” Jawab orang itu: “Jika engkau suruh, hai Rasulullah!”

Maka tiba-tiba Zubair menjengukkan dirinya, maka dia dilihat oleh Rasulullah SAW seraya berkata kepadanya: “Hai putera Shafiyah! Bangun menghadapinya!” Zubair ra segera mendatangi musuh itu dan mendaki bukit hingga tiba di puncaknya. Mereka lalu bertarung, sehingga kedua-duanya berguling-guling dari atas bukit itu.

Lalu Rasulullah SAW yang dari tadi melihat peristiwa itu, berkata: “Siapa yang tersungkur ke bawah bukit itu, dialah yang akan mati.” Maka masing-masing Nabi SAW dan kaum Muslimin mendoakan supaya yang jatuh dahulu itu si kafir. Maka benarlah si kafir itu yang jatuh dulu, manakala Zubayr jatuh ke atas dadanya, lalu si kafir itu mati. (Kanzul Ummal 5:69)

Baihaqi memberitakan dari Abdullah bin Zubayr ra, beliau berkata: Pada hari pertempuran Khandak, aku masih kecil dan aku dikumpulkan dengan kaum wanita dan anak-anak kecil di tempat yang tinggi, dan bersama kami ialah Umar bin Abu Salamah. Kerap Umar membenarkan aku menaiki bahunya untuk melihat apa yang terjadi di bawah sana. Aku melihat ayahku mengayunkan pedangnya ke kanan dan ke kiri, pendek kata siapa saja yang cuba mendekatinya, dihabisinya dengan pedangnya.

Pada waktu petang, datang ayahku ke tempat kami untuk menjenguk, lalu aku berkata kepadanya: “Ayah! Aku lihat engkau berperang pada hari ini, dan apa yang engkau lakukan tadi!” Ayahku menjawab: “Engkau lihat apa yang ayah buat, duhai anakku?” Jawabku: “Ya.” Dia lalu berkata lagi: “Aku lakukan untuk mempertahankanmu, demi ayah dan ibuku!” (Al-Bidayah Wan-Nihayah 4:107)

Bukhari telah mengeluarkan dari Urwah ra bahwa para sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Zubair ra pada hari pertempuran di Yarmuk: “Pimpinlah kami untuk menembusi barisan musuh, kami akan ikut di belakangmu!” Zubair menjawab: “Nanti kalau aku menggempur mereka, kamu akan duduk di belakang saja.”

Jawab mereka: “Tidak, kami akan sama-sama menggempur!” Maka Zubair pun menembusi barisan musuh serta menggempur mereka, dan tidak ada seorang pun bersamanya ketika itu, lalu dia kembali lagi ke barisannya, sedang lehernya penuh luka-luka oleh pukulan musuh. Ada dua bekas luka di situ, yang satu adalah dari bekas kena pukulan di hari Badar.

Berkata Urwah ra: “Aku pernah memainkan tempat bekas luka itu ketika aku kecil, dan ketika itu Abdullah juga masih kecil, umurnya sepuluh tahun, lalu ayah kami Zubayr mengajaknya naik di atas kuda, kemudian diserahkannya kepada orang lain.” (Al-Bidayah Wan-Nihayah 7:11)

Rasulullah SAW merasa bangga terhadap Zubair, dan ia bersabda : "Setiap nabi mempunyai pengikut pendamping yang setia (Hawari) dan hawariku adalah Zubair ibnul Awwam." Kecintaan Rasulullah SAW kepada Zubayr bukan hanya disebabkan ia anak bibi Rasulullah SAW, tetapi karena Zubair memang seorang pemuda yang setia, ikhlas, jujur, kuat, berani,murah tangan dan telah menjual diri dan hartanya kepada ALLAH. Dia adalah seorang pengelola perdagangan yang berhasil dan hartawan, tapi hartanya selalu diinfakan untuk perjuangan Islam.

Bila diserukan "Hayo berjihad fi Sabilillah", maka ia akan segera menjadi orang pertama yang datang menyambut seruan itu. Oleh karena itulah Zubair selalu mengikuti seluruh peperangan bersama Rasulullah SAW. Selama hidupnya ia tidak pernah tinggal berjihad. Ketika kaum muslimin mengepung perbentengan bani Quraidah yang kukuh dan sukar untuk dikuasai, Zubair bersama Ali bin Abi Thalib menyerbu dengan memanjat benteng itu sehingga kaum muslimin dapat memasuki dan menguasai benteng tersebut.

Begitu pula kesiap-siagapan Zubair dalam menyambut seruan jihad pada perang Ahzaab dan peperangan lainnya sehingga bila Rasulullah SAW melihatnya, Beliau tersenyum redha dan gembira, seraya bersabda: “Tiap nabi mempunyai kawan dan pembela setia (Hawari) dan di antara hawariku adalah Zubair." Zubair tercatat dalam rombongan yang pernah hijrah ke negeri Habasyah sebelum hijrah ke Madinah.

Ketika Amru Ibnul Aash meminta bala bantuan tentara kepada Amirul Mukminin, Umar Ibnul Khattab untuk memperkuat pasukan memasuki negeri Mesir dan mengalahkan tentara Romawi yang kala itu menduduki Mesir, Saidina Umar ra mengirim empat ribu prajurit yang dipimpin oleh empat orang komandan dan ia juga menulis surat yang isinya:

“Aku mengirim empat ribu prajurit bala bantuan yang dipimpin empat orang sahabat yang terkemuka dan masing-masing bernilai seribu orang. Tahukah anda siapa empat orang komandan itu? Mereka adalah Zubair Ibnul Awwam, Ubadah Ibnu Assamit, Almiqdaad Ibnul Aswad dan Maslamah bin Mukhallid.”

Ketika menghadapi benteng Babylon, kaum muslimin sukar membuka dan menguasainya. Zubair ra memanjati dinding benteng dengan tangga. Lalu ia berseru "Allahu Akbar" dan disambut dengan kalimat tahuid oleh pasukan yang berada di luar benteng. Hal ini membuat pasukan musuh gentar, panik dan meninggalkan pos-pos pertahanan mereka sehingga Zubair dan kawan-kawannya bergegas membuka pintu gerbang maka tercapailah kemenangan yang gilang gemilang pada kaum Muslimin.

Ketika terjadinya Perang Jamal antara pasukan yang dipimpin Saiditina Aisyah ra dengan pasukan Ali ra, Zubair bertemu dengan Ali dan menyatakan dirinya tidak lagi memihak dan akan berusaha mendamaikan kedua pasukan itu. Setelah itu maka beliau pun pergi. Tetapi beliau diikuti oleh beberapa orang yang menginginkan berlanjutnya fitnah dan perang. Zubair ditikam ketika sedang menghadap Allah (dalam keadaan menunaikan solat). Moga Allah merahmati rohnya dan roh para sahabat radhiallahu ‘anhum.
Allahu a'lam..