DIARI BULAN ZULKAEDAH

Friday, August 20, 2010
Bulan Zul Qa’edah

PENGENALAN
Zu ertinya "yang empunya". Qa'adah ertinya "duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat-rehat. 

Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu bulan daripada empat bulan yang mulia dan diharamkan berperang. 

Maka masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini. Selain Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram ( bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang ). 

Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya.
Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".


1. Kematian Abu Talib bapa saudara Nabi saw di awal bulan Zul Qa’edah sebaik sahaja Baginda saw dan para sahabat keluar dari pemulauan kaum Musyikin Mekah.

2. Nabi saw memulakan da’wah Islamiah kepada kabilah-kabilah Arab pada musim Haji. Di sana Baginda saw dipertemukan di Aqabah dengan enam orang berbangsa Khazraj yang datang dari Madinah, ianya berlaku pada tahun kesebelas selepas perlantikan Baginda saw menjadi Rasul. Da’wah Baginda saw diterima dengan baik oleh keenam-enam orang Al Khazraj tersebut, dengan demikian bermulalah era perluasan seruan Islam di luar kota Makkah yang tersebar di Madinah.

3. Bai’ah (perjanjian setia) Al Aqabah Pertama pada tahun kedua belas selepas kenabian Baginda saw. Di sana Baginda saw dipertemukan dengan 12 orang penduduk Madinah yang terdiri daripada 9 orang Al Khazraj dan 3 orang kaum Al Aus. Kesemua mereka mengikat perjanjian dengan Baginda saw menerima Islam sebagai pegangan hidup. Nabi saw mengutusi Mus’ab bin Umair kepada penduduk Madinah bagi mengajari mereka Al Qur’an dan berda’wah menyebarkan agama Islam.

4. Peperangan dengan kaum Yahudi Bani Quraizhah pada tahun kelima Hijrah, ianya sebaik sahaja selepas peperangan Al Khandak sebelum Nabi saw menanggalkan pakaian perang Baginda saw.

5. Perjanjian Hudaibiyah pada tahun keenam Hijrah. Ianya berlaku apabila Nabi saw beserta para sahabat yang terdiri daripada 1400 orang ingin mengerjakan ‘ibadah ‘Umrah tetapi mereka telah disekat oleh Quraish daripada memasuki Makkah. Nabi saw mengutusi ‘Usman bin Affan untuk berunding dengan mereka, malangnya terdapat cerita yang mengatakan Usman telah dibunuh oleh kaum Musyrikin. Ia membawa kepada terjadinya perjanjian Bai’ah Ridwan di bawah sepohon pokok di situ. Tetapi cerita tentang pembunuhan itu tidaklah benar dan akhirnya berlakulah perjanjian Hudaibiyah di antara Baginda saw dengan orang Quraish. Di antara butiran perjanjian adalah ; perjanjian damai antara kedua belah pihak selama 10 tahun, keamanan di antara mereka, umat Islam dapat mengerjakan 'i‘adah umrah pada tahun yang berikutnya. Perjanjian ini merupakan kejayaan da’wah Islamiyah dan merupakan perintis jalan bagi pembukaan kota Makkah oleh Baginda saw. Ianya juga menjadi inspirasi kepada beberapa orang pembesar Quraish untuk memeluk agama Islam, antaranya ‘Amr bin Al ‘As dan Khalid bin Al Walid.

6. Baginda saw mengerjakan ‘ibadah ‘umrah sebanyak empat kali setelah berhijrah ke Madinah, kesemuanya dilakukannya di dalam bulan Zul Qa’edah kecuali semasa menunaikan Hajjah Al Wada’ (‘umrah dikerjakan beserta haji di bulan Zul Hijjah). ‘Umrah-‘umrah tersebut adalah ‘Umrah Al Hudaibiyah pada tahun keenam Hijrah, ‘umrah Al Qada’ ( gantian) pada tahun ketujuh Hijrah, ‘Umrah Baginda saw dari miqat Al Ja’ranah pada tahun kelapan Hijrah dan ‘Umrah Baginda saw yang dikerjakan beserta ‘ibadah haji.

7. Perutusan Abu Musa Al Asy’ari dan Mu’az bin Jabal ke Yaman pada tahun kesepuluh Hijrah.

8. Nabi saw keluar dari Madinah menuju ke Makkah bagi menunaikan ‘ibadah haji (Al Wada’).

9. Peperangan Al Firadh ( sempadan di antara negeri Syam, Al ‘Iraq dan Semenanjung Tanah Arab ) pada tahun kedua belas Hijrah (643 Masihi). Tentera Rom, pendokong mereka dari jajahan Farsi beserta kabilah-kabilah Arab Taghlib, Ayad dan An Namir berhimpun di sana untuk menyerang tentera Islam, mereka ditewaskan oleh Khalid bin Al Walid dan ramai dikalangan mereka yang terbunuh.

10. Pembukaan kota Hims dan Ba’labakka secara damai pada tahun keempat belas Hijrah oleh Abu ‘Ubaidah.

11. Perlantikan Mu’awiyah bin Abi Sufian sebagai khalifah pada tahun 37 Hijrah.

12. Peperangan Malaz Karad pada 26 Ogos 1071, tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan As Salajiqah Alab Arsalan telah menewaskan tentera Rom yang diketuai oleh raja mereka Rumanus. Ia telah meninggalkan kesan yang tragik kepada tentera Rom dan empayar timur mereka yang menyebabkan terpecahnya jajahan takluk mereka dan perluasan kerajaan Islam di bumi Asia Tengah.

13. Kematian Shaikh Islam Ibnu Taimiah di masjid Al Falsafah, Damsyik pada tahun 828 Hijrah ( 27/9/1328 Masihi).

0 comments:

Post a Comment