Badi'uzzaman Sa'id al-Nursi

Monday, May 21, 2012




Nama sebenar beliau adalah Sa'id bin Mirza. Beliau dilahirkan pada tahun 1876 di Nurs yang terletak di perkampungan kecil daerah Khizan, Turki. Keluarga beliau terdiri daripada golongan petani yang hidup dalam keadaan sederhana. Ibu dan bapa beliau berketurunan Kurdis dan berasal daripada salasilah keturunan Ahl al-Bayt.

Gelaran Badi'uzzaman diberikan kepada beliau oleh gurunya yang bernama Syeikh Fathu'llah. Ia bermaksud "keunggulan Zaman". Namun beliau tidak mahu menerima gelaran itu kerana merasakan masih belum layak dengan gelaran itu.

Sa'id al-Nursi merupakan seorang pejuang yang berani berdepan dengan musuh Islam. Beliau sanggup mempertahankan agama walau diri diancam dengan pelbagai ugutan dari pihak musuh Islam. Beliau juga menghadapi pelbagai fitnah dan tohmahan dalam mencapai cita-citanya iaitu, menyepadukan ilmu agama dan ilmu sains. Namun itu semua tidak melunturkan semangat beliau untuk terus berjuang.

Beliau pernah ditahan dan dihukum tembak sampai mati. Namun hukuman tersebut dibatalkan. Selain itu, ancaman seterusnya menjadi sasaran komplot bunuh pihak British. Namun kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Melalui pertolongan Allah SWT beliau terpelihara daripada ancaman dan meneruskan perjuangan beliau tanpa rasa gentar.

Beliau merupakan orang yang ditakuti tentera Russia ketika Perang Dunia Pertama. Inilah orang yang sanggup meludah ke muka orang British yang menjajah Istanbul. Inilah orang yang berjaya terlepas dari tali gantung sebanyak beberapa kali. Walau bagaimanapun, mereka kemudian mengenalinya juga, terpaksa berkata, "Segala apa yang kami lakukan selama 25 tahun yang lepas tidak berjaya menyekat Said Nursi dari meneruskan kegiatannya"

Perasaan cinta yang mendalam terhadap agama membawa beliau kepada Kemunculan  Risale-i Nur (Risalah Yang Bercahaya). Ketika itu, Turki berada dalam kegelapan dan kezaliman. Ketika beliau berada di Barla selama 8 tahun di bawah penindasan yang amat dahsyat, beliau sempat menulis 3 suku daripada Risale-i Nurnya.

"Saya akan buktikan kepada dunia bahawa Al-Quran ialah matahari rohani yang tidak akan luntur dan tidak akan padam". Inilah ucapan yang diluahkan oleh Badiu'zzaman Sa'id al-Nursi kepada pihak yang menentangnya. Suka saya menyebut  tentang ucapannya iaitu "Al-Quran ialah matahari rohani yang tidak akan luntur dan tidak akan padam" yang mana disebalik kata-kata ini tersimpan seribu makna.

Al-quran merupakan sumber rujukan yang mana, di dalamnya mengandungi setiap aspek ilmu pengetahuan. Suatu kerugian yang besar andai kita menolak sumber dari al-quran yang ternyata menyeluruh dan mencakupi seluruh aspek kehidupan.

Pendidikan

Pada umur sembilan tahun, Sa'id Nursi mula mencari ilmu pengetahuan ke luar kawasan tempat tinggalnya. Beliau mempelajari dan menguasai ilmu-ilmu yang ada pada kitab-kitab muktabar seperti jam'al-Jawami, Sharh al-Mawaqif dan Ibn Hajar. Minat beliau dalam bidang ilmu ini bermula apabila beliau ikut serta dalam majlis-majlis ilmu yang dibuat di rumah bapanya. Di situ beliau mula mendapat pendedahan awal dalam proses pembentukan minda.

Gelaran ulama muda yang hebat pernah dinobatkan pada diri beliau. Sa'd al-Nursi pernah dipelawa oleh Gabenor Bitlis yang bernama Umar Basha supaya tinggal bersama. Umar Basha mempunyai sebuah perpustakaan yang besar di dalam rumahnya. Di situ Sa'id Nursi berpeluang mendalami pelbagai jenis ilmu daripada pelbagai jenis kitab yang terdapat di rumah Gabenor Bitlis selama dua tahun. Dalam tempoh itu Sa'id al-Nursi sudah berjaya menghafal kitab-kitab seperti al-Matali, al-Mawaqif dan al-Mirqat. Selain itu, Sa'id Nursi berjaya mempelajari dan menguasai ilmu kalam, mantik, nahu, tafsir, hadith dan fiqah.

Kerjaya

Pada tahun 1897, Sa'id al-Nursi dilantik menjadi ulama oleh Gabenor Hasan Basha dan berkhidmat di Wan. Semasa berada di sana beliau banyak berdialog dengan tokoh ilmuan moden. Namun beliau merasakan diri beliau belum cukup mendalami ilmu-ilmu moden. Akhirnya beliau mengambil keputusan mempelajari bidang sains seperti fizik, kimia, biologi, astronomi dan ilmu kaji bumi.

Bagi memantapkan lagi diri dengan keseluruhan ilmu, beliau tidak ketinggalan mempelajari ilmu geografi, falsafah moden, sejarah dan matematik. Kepakaran beliau dalam cabang-cabang ilmu itu akhirnya melayakkan beliau dengan galaran'Badi'uzzaman'. Kali ini Sa'd al-Nursi menerima gelaran "Badi'uzzaman" bagi dirinya.

Beliau dilantik menjadi guru di Madrasah Khur Khur. Semasa beliau menjadi guru di situ beliau bertindak menggabungkan ilmu agama dan ilmu sains moden. Bagi beliau, ilmu sains dan ilmu agama tidak dapat dipisahkan.

Reformasi Pendidikan

Pada tahun 1896, Sa'id al-Nursi pergi ke Istanbul bagi menubuhkan sekolah Islam moden yang di namakan Madrasah al-Zahra. Sukatan pelajarannya diambil daripada al-Azhar, Mesir. Usaha beliau dalam meningkatkan taraf pendidikan diteruskan dengan usaha membina universiti di Anatolia Timur, Istanbul. Namun usaha itu gagal apabila tercetusnya perang dunia pertama. Dari situ beliau mula membuat reformasi sistem pendidikan. Beliau mahu ilmu agama dan ilmu moden pada masa itu dipelajari dengan sama penting.

Pada 29 oktober 1923, Turki diisytiharkan sebagai sebuah Republik yang berfahaman sekular. Perubahan ini tidak melemahkan semangat Sa'id al-Nursi. Sebagai menentang fahaman sekular, Sa'id al-Nursi menyokong pembentukan Parti Demokratik Turki. Ia bertujuan bagi mendapat pemerintahan yang adil di samping menyebarkan agama Islam.
Semasa Perang Dunia Pertama, beliau menjadi pemimpin sukarelawan bagi perang Kaukaz dan Anatolia Timur. Kepahlawanan beliau mendapat perhatian daripada panglima tentera Turki Uthmaniah, Menteri Perang dan Ketua Turus Tentera. Selepas mengalami kekalahan dalam Perang Dunia Pertama, negara Turki dijajah oleh British. Sa'id al-Nursi membuat penentangan pada British. British menjadi marah dan membuat perancangan hendak membunuh beliau. Namun akhirnya, beliau terselamat daripada dibunuh oleh pihak British.

Karya Sa'id al-Nursi

Tafsir Rasa'il al-Nur adalah tulisannya yang terkenal dan mendapat pengiktirafan daripada para ulama terkenal. Tafsir Rasa'il al-Nur adalah tafsir Quran. Karya ini membincangkan beberapa ilmu seperti hadith, falsafah, ilmu kalam dan Tasawuf. Karya ini mendapat sambutan hangat daripada umat islam di seluruh dunia. Malah Tafsir Rasa'il al-Nur diterjemahkan ke dalam beberapa jenis bahasa.

Selain daripada bahasa Inggeris dan Arab, karya ini juga diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, Rumania, Bulgaria, Parsi, Kurdi, Urdu, India, Jerman, Itali, Perancis, Rusia dan beberapa bahasa lain di Asia Tengah. Antara kata-kata beliau, "Sebaik-baik pemuda di kalangan kamu adalah mereka yang menyerupai (tasyabbaha) orang tua dan seburuk-buruk orang tua adalah mereka yang menyerupai orang muda". Sa'id al-Nursi menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 23 Mac 1960. Jenazahnya dikebumikan di Urfa.

(Sumber :  50 Tokoh Islam yang Mengubah Dunia, Ahmad Amri Zainal Adnan & Nurasyikin Ahmad, halaman 6 hingga 9)

- Artikel iluvislam.com

0 comments:

Post a Comment