Saidina Zubair ibn al-Awwam RA

Tuesday, May 10, 2011

Saidina Zubair ibn al-Awwam ra

Abu 'Abd Allah Zubayr ibn al-Awwam (bahasa Arab: أبو عبدالله زبير ابن العوام‎) adalah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Beliau merupakan salah seorang "mubasyirin bil-jannah" (sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga). Beliau merupakan salah seorang pejuang yang hebat. Bersama dengan Khalid Al-Walid, mereka berdua sahaja yang berkeupayaan untuk berperang dengan dua pedang dalam satu masa, walaupun ketika menunggang kuda.

Biografi

Zubair berasal dari Bani Asad, merupakan anak kepada Awwam ibn Khuwailid dan Saffiyah binti Abd Al-Muttalib. Zubair berkahwin dengan Asma binti Abu Bakar. Hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki iaitu, Abdullah ibn Zubair, Urwah ibn Zubair dan Ursa ibn Zubair.

Zubair memeluk Islam ketika berumur 15 tahun. Semasa Zubair memeluk Islam, diceritakan bahawa bapa saudaranya pernah menghukum beliau dengan membalutnya di dalam tikar lalu kakinya digantung di atas dan di bawah kepalanya api yang membara. Bapa saudaranya Naufil memaksanya kembali menyembah berhala, tetapi walaupun disiksa berkali-kali, Zubair menegaskan "Saya tidak akan kafir kembali sama sekali!"

Perajurit Allah Pengiring Rasulullah

Antara Thalhah dan Zubair adalah dua serangkai. Bila yang seorang disebut maka yang kedua pun disebut. Mereka sama-sama beriman pada tahun yang sama dan wafat dalam tahun yang sama pula. Kedua-duanya tergolong dalam sepuluh orang yang "mubasyarin bil jannah".

Zubair masuk Islam ketika berusia usia lima belas tahun dan beliau berhijrah ketika berusia lapan belas tahun sesudah menderita penganiayaan dan siksaan bertubi-tubi kerana mempertahankan keimanannya. Bapa saudaranya sendirilah yang menyiksanya. Zubair digulung ke dalam tikar, lalu kakinya digantung diatas dan dibawah kepalanya ditaruh api yang membara. Bapa saudaranya berkata, "Kembali kamu kepada penyembahan berhala !" Tapi Zubair menjawab, "Saya tidak akan kembali kafir lagi sama sekali."

Ibnu Asakir telah mengeluarkan dari Said bin Al-Musaiyib, dia berkata: Orang pertama yang menghunus pedang fisabilillah ialah Zubair bin Al-Awwam ra. Pada suatu hari, sedang dia sibuk dengan kerjanya, tiba-tiba terdengar olehnya desas-desus bahawa Rasulullah SAW telah dibunuh orang.

Zubair tidak membuang masa lagi, lalu mengambil pedangnya keluar mencari-cari sumber berita itu. Di tengah jalan dia bertemu dengan Rasulullah SAW yang sedang berjalan, wajahnya terpegun. Rasulullah SAW lalu bertanya: “Mengapa engkau wahai Zubair, terkejut?”

Jawabnya: “Aku dengar berita, bahawa engkau telah dibunuh orang!” Rasulullah SAW juga terkejut, lalu berkata: “Kalau aku dibunuh orang, maka apa yang hendak engkau buat?” Jawab Zubair: “Aku akan menentang semua orang Makkah, kerana itu!” Rasulullah SAW lalu mendoakan segala yang baik-baik baginya.

Ibnu Asakir dan Abu Nuaim memberitakan dari Urwah bahwa Zubair bin Al-Awwam pernah mendengar bisikan syaitan yang mengatakan bahawa Muhammad SAW telah dibunuh dan ketika itu Zubair baru saja berusia dua belas tahun. Zubair lalu mengambil pedangnya, dan berkeliaran di lorong-lorong Makkah mencari Nabi SAW yang ketika itu berada di daerah tinggi Makkah, sedang di tangan Zubayr pedang yang terhunus.

Apabila dia bertemu dengan Nabi SAW, Baginda bertanya: “Kenapa engkau dengan pedang yang terhunus itu hai Zubair?” Beliau menjawab: “Aku dengar engkau dibunuh orang Makkah.”

Rasulullah SAW tersenyum, lalu bertanya lagi: “Apa yang hendak engkau perbuat, jika aku terbunuh?” Maka jawab Zubair: “Aku akan menuntut balas akan darahmu kepada siapa yang membunuhmu!”

Rasulullah SAW lalu mendoakan bagi Zubair dan bagi pedangnya, kemudian menyuruhnya kembali saja. Maka itu dianggap sebagai pedang pertama yang terhunus fisabilillah. (Kanzul Ummal 5:69; Al-Ishabah 1:545)

Zubair adalah perajurit dakwah yang menyandang senjata untuk melawan orang-orang yang menghendaki gugurnya dakwah Islamiah selagi dalam kandungan. Kepahlawanannya telah tampak pertama kali ketika waktu perang Badar. Dalam peperangan itu, pasukan Quraisy menempatkan pahlawannya di barisan paling hadapan yang dipimpin oleh Ubaidah bin Said Ibnul Aash. Beliau dikenal sebagai seorang yang paling berani, paling pandai dalam menunggang kuda dan paling kejam terhadap lawan. Kaum Quraisy sengaja menempatkannya di barisan terdepan untuk menentang pahlawan-pahlawan berkuda kaum muslimin.

Zubair segera memandang ke arah Ubaidah. Ternyata seluruh tubuhnya berbalut senjata (baju besi) sehingga sulit ditembus dengan senjata. Yang tampak dari Ubaidah hanya kedua matanya saja. Zubair berpikir bagaimana caranya mengalahkan musuhnya yang berbaju besi itu dan ia menemukan cara yang jitu. Setelah siap, Zubair terjun kemedan pertempuran dan terjadilah perang tanding yang seru sekali.

Dalam dua kali putaran Zubair mengarahkan lembingnya ke mata Ubaidah dan berhasil menusuk kedua mata itu sampai ke belakang kepalanya. Ubaidah, pendekar Quraisy itu berteriak dan jatuh tersungkur tanpa gerak. Menyaksikan terbunuhnya Ubaidah yang tragis ini, barisan kaum musyrikin ketakutan. Lembing milik Zubayr kemudian diminta oleh Rasulullah SAW. Lembing itu kemudian berada di tangan Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan Abdullah ibnu Zubayr meminta lembing itu untuk disimpannya. Terbunuhnya pendekar Quraisy Ubaidah menambah semangat juang umat Islam dalam setiap peperangan dan mereka selalu dapat memenangkannya.

Yunus menyebut dari Ibnu Ishak, bahawa Talhah bin Abu Talhah Al-Abdari, pembawa bendera kaum Musyrikin pada hari Uhud telah mengajak perang tanding, tetapi tiada seorang pun yang mau keluar menemuinya. Maka Zubair bin Al-Awwam ra keluar untuk menghadapinya.

Mereka berdua bertarung sampai Zubair melompat ke atas untanya, dan menariknya jatuh ke atas tanah, dan di situ dia bertarung dengan Talhah, sehingga akhirnya Zubair dapat mengalahkan Talhah dan membunuhnya dengan pedangnya. Lantaran itu Rasulullah SAW telah berkata: “Tiap-tiap Nabi ada pengiringnya, dan pengiringku ialah Zubair.” Kemudian Baginda berkata lagi: “Kalau Zubair tidak keluar melawannya, nescaya aku sendiri yang akan keluar dan melawannya, karena melihat banyak orang yang tidak sanggup melawannya.2 (Al-Bidayah Wan-Nihayah 4:20)

Yunus memberitakan lagi dari Ibnu Ishak yang berkata: Pada hari pertempuran Khandak, telah keluar Naufal bin Abdullah bin Al-Mughirah Al-Makhzumi seraya mengajak untuk lawan tanding. Maka segera keluar menghadapinya Zubair bin Al-Awwam ra. dan melawannya sehingga dia dapat membelah tubuh musuhnya menjadi dua, sehingga pedangnya menjadi tumpul. (Al-Bidayah Wan-Nihayah 4:107)

Ibnu Jarir telah mengeluarkan dari Asma binti Abu Bakar ra, bahawa beliau berkata:

Telah datang seorang Musyrik yang lengkap dengan senjatanya, dia lalu mendaki di sebuah tempat yang tinggi, seraya berteriak: “Siapa yang mau bertanding dengan aku!” Rasulullah SAW berkata kepada seseorang di situ: “Boleh engkau bertanding dengan dia?” Jawab orang itu: “Jika engkau suruh, hai Rasulullah!”

Maka tiba-tiba Zubair menjengukkan dirinya, maka dia dilihat oleh Rasulullah SAW seraya berkata kepadanya: “Hai putera Shafiyah! Bangun menghadapinya!” Zubair ra segera mendatangi musuh itu dan mendaki bukit hingga tiba di puncaknya. Mereka lalu bertarung, sehingga kedua-duanya berguling-guling dari atas bukit itu.

Lalu Rasulullah SAW yang dari tadi melihat peristiwa itu, berkata: “Siapa yang tersungkur ke bawah bukit itu, dialah yang akan mati.” Maka masing-masing Nabi SAW dan kaum Muslimin mendoakan supaya yang jatuh dahulu itu si kafir. Maka benarlah si kafir itu yang jatuh dulu, manakala Zubayr jatuh ke atas dadanya, lalu si kafir itu mati. (Kanzul Ummal 5:69)

Baihaqi memberitakan dari Abdullah bin Zubayr ra, beliau berkata: Pada hari pertempuran Khandak, aku masih kecil dan aku dikumpulkan dengan kaum wanita dan anak-anak kecil di tempat yang tinggi, dan bersama kami ialah Umar bin Abu Salamah. Kerap Umar membenarkan aku menaiki bahunya untuk melihat apa yang terjadi di bawah sana. Aku melihat ayahku mengayunkan pedangnya ke kanan dan ke kiri, pendek kata siapa saja yang cuba mendekatinya, dihabisinya dengan pedangnya.

Pada waktu petang, datang ayahku ke tempat kami untuk menjenguk, lalu aku berkata kepadanya: “Ayah! Aku lihat engkau berperang pada hari ini, dan apa yang engkau lakukan tadi!” Ayahku menjawab: “Engkau lihat apa yang ayah buat, duhai anakku?” Jawabku: “Ya.” Dia lalu berkata lagi: “Aku lakukan untuk mempertahankanmu, demi ayah dan ibuku!” (Al-Bidayah Wan-Nihayah 4:107)

Bukhari telah mengeluarkan dari Urwah ra bahwa para sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Zubair ra pada hari pertempuran di Yarmuk: “Pimpinlah kami untuk menembusi barisan musuh, kami akan ikut di belakangmu!” Zubair menjawab: “Nanti kalau aku menggempur mereka, kamu akan duduk di belakang saja.”

Jawab mereka: “Tidak, kami akan sama-sama menggempur!” Maka Zubair pun menembusi barisan musuh serta menggempur mereka, dan tidak ada seorang pun bersamanya ketika itu, lalu dia kembali lagi ke barisannya, sedang lehernya penuh luka-luka oleh pukulan musuh. Ada dua bekas luka di situ, yang satu adalah dari bekas kena pukulan di hari Badar.

Berkata Urwah ra: “Aku pernah memainkan tempat bekas luka itu ketika aku kecil, dan ketika itu Abdullah juga masih kecil, umurnya sepuluh tahun, lalu ayah kami Zubayr mengajaknya naik di atas kuda, kemudian diserahkannya kepada orang lain.” (Al-Bidayah Wan-Nihayah 7:11)

Rasulullah SAW merasa bangga terhadap Zubair, dan ia bersabda : "Setiap nabi mempunyai pengikut pendamping yang setia (Hawari) dan hawariku adalah Zubair ibnul Awwam." Kecintaan Rasulullah SAW kepada Zubayr bukan hanya disebabkan ia anak bibi Rasulullah SAW, tetapi karena Zubair memang seorang pemuda yang setia, ikhlas, jujur, kuat, berani,murah tangan dan telah menjual diri dan hartanya kepada ALLAH. Dia adalah seorang pengelola perdagangan yang berhasil dan hartawan, tapi hartanya selalu diinfakan untuk perjuangan Islam.

Bila diserukan "Hayo berjihad fi Sabilillah", maka ia akan segera menjadi orang pertama yang datang menyambut seruan itu. Oleh karena itulah Zubair selalu mengikuti seluruh peperangan bersama Rasulullah SAW. Selama hidupnya ia tidak pernah tinggal berjihad. Ketika kaum muslimin mengepung perbentengan bani Quraidah yang kukuh dan sukar untuk dikuasai, Zubair bersama Ali bin Abi Thalib menyerbu dengan memanjat benteng itu sehingga kaum muslimin dapat memasuki dan menguasai benteng tersebut.

Begitu pula kesiap-siagapan Zubair dalam menyambut seruan jihad pada perang Ahzaab dan peperangan lainnya sehingga bila Rasulullah SAW melihatnya, Beliau tersenyum redha dan gembira, seraya bersabda: “Tiap nabi mempunyai kawan dan pembela setia (Hawari) dan di antara hawariku adalah Zubair." Zubair tercatat dalam rombongan yang pernah hijrah ke negeri Habasyah sebelum hijrah ke Madinah.

Ketika Amru Ibnul Aash meminta bala bantuan tentara kepada Amirul Mukminin, Umar Ibnul Khattab untuk memperkuat pasukan memasuki negeri Mesir dan mengalahkan tentara Romawi yang kala itu menduduki Mesir, Saidina Umar ra mengirim empat ribu prajurit yang dipimpin oleh empat orang komandan dan ia juga menulis surat yang isinya:

“Aku mengirim empat ribu prajurit bala bantuan yang dipimpin empat orang sahabat yang terkemuka dan masing-masing bernilai seribu orang. Tahukah anda siapa empat orang komandan itu? Mereka adalah Zubair Ibnul Awwam, Ubadah Ibnu Assamit, Almiqdaad Ibnul Aswad dan Maslamah bin Mukhallid.”

Ketika menghadapi benteng Babylon, kaum muslimin sukar membuka dan menguasainya. Zubair ra memanjati dinding benteng dengan tangga. Lalu ia berseru "Allahu Akbar" dan disambut dengan kalimat tahuid oleh pasukan yang berada di luar benteng. Hal ini membuat pasukan musuh gentar, panik dan meninggalkan pos-pos pertahanan mereka sehingga Zubair dan kawan-kawannya bergegas membuka pintu gerbang maka tercapailah kemenangan yang gilang gemilang pada kaum Muslimin.

Ketika terjadinya Perang Jamal antara pasukan yang dipimpin Saiditina Aisyah ra dengan pasukan Ali ra, Zubair bertemu dengan Ali dan menyatakan dirinya tidak lagi memihak dan akan berusaha mendamaikan kedua pasukan itu. Setelah itu maka beliau pun pergi. Tetapi beliau diikuti oleh beberapa orang yang menginginkan berlanjutnya fitnah dan perang. Zubair ditikam ketika sedang menghadap Allah (dalam keadaan menunaikan solat). Moga Allah merahmati rohnya dan roh para sahabat radhiallahu ‘anhum.
Allahu a'lam..

1 comments:

  1. Anonymous said...:

    boleh tak saya nk tau pengajaran untuk kisah hidup zubayr ni?

Post a Comment