Nama sebenar beliau adalah
Sa'id bin Mirza. Beliau dilahirkan pada tahun 1876 di Nurs yang terletak di
perkampungan kecil daerah Khizan, Turki. Keluarga beliau terdiri daripada
golongan petani yang hidup dalam keadaan sederhana. Ibu dan bapa beliau berketurunan
Kurdis dan berasal daripada salasilah keturunan Ahl al-Bayt.
Gelaran Badi'uzzaman
diberikan kepada beliau oleh gurunya yang bernama Syeikh Fathu'llah. Ia
bermaksud "keunggulan Zaman". Namun beliau tidak mahu menerima
gelaran itu kerana merasakan masih belum layak dengan gelaran itu.
Sa'id al-Nursi merupakan
seorang pejuang yang berani berdepan dengan musuh Islam. Beliau sanggup
mempertahankan agama walau diri diancam dengan pelbagai ugutan dari pihak musuh
Islam. Beliau juga menghadapi pelbagai fitnah dan tohmahan dalam mencapai
cita-citanya iaitu, menyepadukan ilmu agama dan ilmu sains. Namun itu semua
tidak melunturkan semangat beliau untuk terus berjuang.
Beliau pernah ditahan dan
dihukum tembak sampai mati. Namun hukuman tersebut dibatalkan. Selain itu,
ancaman seterusnya menjadi sasaran komplot bunuh pihak British. Namun kuasa
Allah mengatasi segala-galanya. Melalui pertolongan Allah SWT beliau
terpelihara daripada ancaman dan meneruskan perjuangan beliau tanpa rasa
gentar.
Beliau merupakan orang yang
ditakuti tentera Russia ketika Perang Dunia Pertama. Inilah orang yang sanggup
meludah ke muka orang British yang menjajah Istanbul. Inilah orang yang berjaya
terlepas dari tali gantung sebanyak beberapa kali. Walau bagaimanapun, mereka
kemudian mengenalinya juga, terpaksa berkata, "Segala apa yang kami
lakukan selama 25 tahun yang lepas tidak berjaya menyekat Said Nursi dari
meneruskan kegiatannya"
Perasaan cinta yang
mendalam terhadap agama membawa beliau kepada Kemunculan Risale-i Nur
(Risalah Yang Bercahaya). Ketika itu, Turki berada dalam kegelapan dan
kezaliman. Ketika beliau berada di Barla selama 8 tahun di bawah penindasan
yang amat dahsyat, beliau sempat menulis 3 suku daripada Risale-i Nurnya.
"Saya akan buktikan
kepada dunia bahawa Al-Quran ialah matahari rohani yang tidak akan luntur dan
tidak akan padam". Inilah ucapan yang diluahkan oleh Badiu'zzaman Sa'id
al-Nursi kepada pihak yang menentangnya. Suka saya menyebut tentang ucapannya
iaitu "Al-Quran ialah matahari rohani yang tidak akan luntur dan tidak
akan padam" yang mana disebalik kata-kata ini tersimpan seribu makna.
Al-quran merupakan sumber
rujukan yang mana, di dalamnya mengandungi setiap aspek ilmu pengetahuan. Suatu
kerugian yang besar andai kita menolak sumber dari al-quran yang ternyata
menyeluruh dan mencakupi seluruh aspek kehidupan.
Pendidikan
Pada umur sembilan tahun,
Sa'id Nursi mula mencari ilmu pengetahuan ke luar kawasan tempat tinggalnya.
Beliau mempelajari dan menguasai ilmu-ilmu yang ada pada kitab-kitab muktabar
seperti jam'al-Jawami, Sharh al-Mawaqif dan Ibn Hajar. Minat beliau dalam
bidang ilmu ini bermula apabila beliau ikut serta dalam majlis-majlis ilmu yang
dibuat di rumah bapanya. Di situ beliau mula mendapat pendedahan awal dalam
proses pembentukan minda.
Gelaran ulama muda yang
hebat pernah dinobatkan pada diri beliau. Sa'd al-Nursi pernah dipelawa oleh
Gabenor Bitlis yang bernama Umar Basha supaya tinggal bersama. Umar Basha
mempunyai sebuah perpustakaan yang besar di dalam rumahnya. Di situ Sa'id Nursi
berpeluang mendalami pelbagai jenis ilmu daripada pelbagai jenis kitab yang
terdapat di rumah Gabenor Bitlis selama dua tahun. Dalam tempoh itu Sa'id
al-Nursi sudah berjaya menghafal kitab-kitab seperti al-Matali, al-Mawaqif
dan al-Mirqat. Selain itu, Sa'id Nursi berjaya mempelajari dan menguasai
ilmu kalam, mantik, nahu, tafsir, hadith dan fiqah.
Kerjaya
Pada tahun 1897, Sa'id
al-Nursi dilantik menjadi ulama oleh Gabenor Hasan Basha dan berkhidmat di Wan.
Semasa berada di sana beliau banyak berdialog dengan tokoh ilmuan moden. Namun
beliau merasakan diri beliau belum cukup mendalami ilmu-ilmu moden. Akhirnya
beliau mengambil keputusan mempelajari bidang sains seperti fizik, kimia,
biologi, astronomi dan ilmu kaji bumi.
Bagi memantapkan lagi diri
dengan keseluruhan ilmu, beliau tidak ketinggalan mempelajari ilmu geografi,
falsafah moden, sejarah dan matematik. Kepakaran beliau dalam cabang-cabang ilmu
itu akhirnya melayakkan beliau dengan galaran'Badi'uzzaman'. Kali ini Sa'd
al-Nursi menerima gelaran "Badi'uzzaman" bagi dirinya.
Beliau dilantik menjadi
guru di Madrasah Khur Khur. Semasa beliau menjadi guru di situ beliau bertindak
menggabungkan ilmu agama dan ilmu sains moden. Bagi beliau, ilmu sains dan ilmu
agama tidak dapat dipisahkan.
Reformasi
Pendidikan
Pada tahun 1896, Sa'id
al-Nursi pergi ke Istanbul bagi menubuhkan sekolah Islam moden yang di namakan
Madrasah al-Zahra. Sukatan pelajarannya diambil daripada al-Azhar, Mesir. Usaha
beliau dalam meningkatkan taraf pendidikan diteruskan dengan usaha membina
universiti di Anatolia Timur, Istanbul. Namun usaha itu gagal apabila
tercetusnya perang dunia pertama. Dari situ beliau mula membuat reformasi
sistem pendidikan. Beliau mahu ilmu agama dan ilmu moden pada masa itu
dipelajari dengan sama penting.
Pada 29 oktober 1923, Turki
diisytiharkan sebagai sebuah Republik yang berfahaman sekular. Perubahan ini
tidak melemahkan semangat Sa'id al-Nursi. Sebagai menentang fahaman sekular,
Sa'id al-Nursi menyokong pembentukan Parti Demokratik Turki. Ia bertujuan bagi
mendapat pemerintahan yang adil di samping menyebarkan agama Islam.
Semasa Perang Dunia Pertama, beliau menjadi pemimpin sukarelawan bagi perang Kaukaz
dan Anatolia Timur. Kepahlawanan beliau mendapat perhatian daripada panglima
tentera Turki Uthmaniah, Menteri Perang dan Ketua Turus Tentera. Selepas
mengalami kekalahan dalam Perang Dunia Pertama, negara Turki dijajah oleh
British. Sa'id al-Nursi membuat penentangan pada British. British menjadi marah
dan membuat perancangan hendak membunuh beliau. Namun akhirnya, beliau
terselamat daripada dibunuh oleh pihak British.
Karya
Sa'id al-Nursi
Tafsir Rasa'il al-Nur
adalah tulisannya yang terkenal dan mendapat pengiktirafan daripada para ulama
terkenal. Tafsir Rasa'il al-Nur adalah tafsir Quran. Karya ini membincangkan
beberapa ilmu seperti hadith, falsafah, ilmu kalam dan Tasawuf. Karya ini
mendapat sambutan hangat daripada umat islam di seluruh dunia. Malah Tafsir
Rasa'il al-Nur diterjemahkan ke dalam beberapa jenis bahasa.
Selain daripada bahasa
Inggeris dan Arab, karya ini juga diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu,
Rumania, Bulgaria, Parsi, Kurdi, Urdu, India, Jerman, Itali, Perancis, Rusia
dan beberapa bahasa lain di Asia Tengah. Antara kata-kata
beliau, "Sebaik-baik pemuda di kalangan kamu adalah mereka yang
menyerupai (tasyabbaha) orang tua dan seburuk-buruk orang tua adalah mereka
yang menyerupai orang muda". Sa'id al-Nursi menghembuskan nafasnya yang terakhir
pada 23 Mac 1960. Jenazahnya dikebumikan di Urfa.
(Sumber : 50 Tokoh
Islam yang Mengubah Dunia, Ahmad Amri Zainal Adnan & Nurasyikin Ahmad,
halaman 6 hingga 9)
- Artikel iluvislam.com