Hadis 40 Imam Nawawi - Hadis 41 - Melawan Hawa Nafsu

Friday, October 28, 2011



Hadis 41

Daripada Abi Muhammad Abdillah bin ‘Amr bin al-‘Ash r.a, berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga hawa nafsunya mengikuti apa yang telah aku bawa (sampaikan).”

(Riwayat al-Hakim (4/164), al-Khatib (4/368) dan Ibn Abi Asim no. 15)

Hadith 41

Abu Muhammad 'Abdullah bin Amr bin al-'As, radiyallahu 'anhu, reported that the Messenger of Allah, sallallahu 'alayhi wasallam, said:

"None of you (truly) believes until his desire or inclination is in accordance with what I have brought or subservient to what I came with."

[A fine and genuine hadith which was related by al-Maqdidsi in his Book of Hujjah]

Pengajaran hadis :
Hadis ini selari dengan firman Allah:

Maksudnya: Demi Tuhanmu, mereka tidak dikatakan beriman sebelum mereka berhukum kepada kamu mengenai perselisihan sesama mereka, mereka tidak berasa berat hati atas keputusan kamu serta menerima dengan pasrah sepenuhnya.

(Surah al-Nisa’ 4: 65)

Antara sebab turunya ayat ini adalah kerana telah terjadi sedikit perselisihan antara al-Zubair dengan seorang sahabat daripada golongan Ansar dalam masalah air.

Kedua-duanya telah mengadukannnya kepada Rasulullah SAW untuk mendapatkan penyelesaian. Lalu Nabi SAW bersabda:

“Wahai Zubair, alirkanlah dan tuangkanlah air kepada tetanggamu.”

Nabi SAW menganjurkan kepada al-Zubair untuk bersikap memudahkan dan bertoransi. Akan tetapi, sahabat Ansar itu berkata: “Adakah kerana dia anak saudaramu?” Maka merahlah wajah Rasulullah SAW kemudian sabda Baginda yang bermaksud:

“Wahai Zubair, tutuplah alirannya sampai airnya naik ke atas pagar kemudian biarkanlah sehingga tumpah.”

Rasulullah SAW melakukan perkara itu untuk memberi isyarat kepada Zubair bahawa apa yang diputuskan beliau mengandungi maslahat bagi golongan Ansar. Tatkala orang Ansar memahami sabda Nabi SAW itu, mala Zubair menyedari apa yang menjadi hak dan kewajipannya. Kerana kejadian itulah ayat ini diturunkan.

1.         Allah SWT menjadikan seorang Muslim sebagai manusia yang sempurna.

2.         Hawa nafsu manusia lebih cenderung kepada keburukan dan tidak mengendahkan syariat.

3.         Manusia dimuliakan dengan akal yang membezakannya daripada makhluk lain. Sebab itu akal dapat membezakan antara kebaikan dan keburukan.

4.         Seorang yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah dan bertekad untuk komited terhadap syariat Allah SWT, maka dia telah beriman.

5.         Untuk meningkatkan iman ke tahap kesempurnaan, seseorang itu perlu mencintai apa yang dicintai Allah SAW dan juga membenci apa yang dibenci Allah SWT. Ia juga akan berkorban apa sahaja untuk kepentingan Allah dan Rasul-Nya.

6.         Kita hendaklah berhukum dengan hukum Allah SWT.

7.         Reda sepenuhnya dengan ketentuan Allah dalam segala hal sama ada hukum itu sesuai dengan hawa nafsu ataupun tidak.

8.         Mencintai apa yang dibenci Allah dan membenci apa yang dicintai Allah adalah tanda-tanda kekufuran.

9.         Para sahabat Rasulullah SAW adalah contoh yang ideal dalam mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya.

10.       Setiap Muslim harus menyesuaikan setiap perbuatannya dengan al-Quran dan al-Sunnah.

11.       Sesiapa yang mengakui kebenaran syariat Allah dengan hatinya, mengucapkan pengakuan tersebut dengan lisan, namun perbuatanya tidak sesuai dengan syariat yang diyakininya itu, maka ia adalah orang fasiq.

12.       Sesiapa yang perbuatannya sesuai dengan syariat, namun dalam keyakinan dna fikirannya ia mengingkari kebenaran syariat Allah, maka ia termasuk di kalangan orang-orang munafik.

13.       Sesiapa mempelakukan hukum Allah sewenang-wenangnya, maka ia adalah orang zindiq.

14.       Keimanan juga termasuk membela dan mempertahankan syariat Allah SWT.

Hadis 40 Imam Nawawi - Hadis 40 -Ambil Dunia Sekadar Perlu

Wednesday, October 19, 2011



Hadis 40

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam al-Bukhari.
Daripada lbnu 'Umar r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:
Rasulullah SAW telah memegang bahuku seraya bersabda: Hiduplah engkau di dunia seolah-olah
engkau seorang perantau atau musafir lalu.
lbnu 'Umar r.a. pernah berkata:
Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan
apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang.
Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu

(Riwayat al-Bukhari no. 6416 dan al-Tirmizi no. 2333)

Hadith 40

On the authority of Ibn 'Umar, radiyallahu 'anhuma, who said: The Messenger of Allah, sallallahu 'alayhi wasallam, took me by the shoulder and said:

"Be in this world as though you were a stranger or a traveler/wayfarer." Ibn 'Umar used to say: "When evening comes, do not expect (to live till) morning, and when morning comes, do not expect (to live till) evening. Take from your health (a preparation) for your illness, and from your life for your death."

[Al-Bukhari]

Pengajaran hadis:


1. Imam Abul Hasan ‘Ali bin Khalaf dalam syarah Bukhari berkata bahawa Abu Zinad berkata:
“Hadis ini bermakna menganjurkan agar sedikit bergaul dan sedikit berkumpul dengan orang-orang awam serta bersikap zuhud kepada dunia.”
Abu Hasan berkata:

“Maksudnya dari hadis ini ialah orang asing biasanya sedikit berkumpul dengan orang lain sehingga dia terasing daripada mereka, kerana hampir-hampir dia hanya berkumpul dan bergaul dengan orang-orang ini sahaja. Dia menjadi orang yang berasa lemah dan takut..”

“Begitu pula seorang pengembara, dia hanya mahu melakukan perjalanan mengikut kekuatannya. Dia hanya membawa beban yang ringan agar dia tidak dibebani untuk menempuh perjalanannya. Dia hanya membawa bekal dan kenderaan yang diperlukan untuk mencapai tujuannya.

Hal ini menunjukkan bahawa sikap zuhud terhadap dunia dimaksudkan untuk dapat sampai kepada tujuan dan mencegah kegagalan, seperti halnya seorang pengembara yang hanya membawa bekal sekadarnya agar sampai ke tempat yang dituju.

Begitu pula halnya dengan seorang Mukmin dalam kehidupan di dunia ini hanyalah memerlukan sekadar bekal untuk mencapai tujuan hidupnya.

2. Ada ketikanya Rasulullah SAW menyentuh anggota badan orang yang dinasihat ketika menyampaikan amanat dan ilmu. Kaedah ini harus digunakan oleh para pendidik.

Ibn Mas’ud berkata, “Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadaku cara bertasyahud, sambil memegang tapak tanganku.”

3. Dunia ini sementara da akhirat itu kekal abadi. Firman Allah:
Maksudnya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.
(Surah Ali ‘Imran 3: 185)

4. Dunia hanyalah jambatan yang akan menghubungkan kita ke akhirat. Allah berfirman:

Maksudnya: Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu daya.
(Surah Ali ‘Imran 3: 185)

5. Gunakan kesempatan hidup untuk berbakti kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

“Manfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain: Masa muda sebelum masa tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.”
(Riwayat al-Hakim daripada Ibn Umar r.a)

6. Hendaklah segera melakukan kebaikan, banyak melakukan ketaatan dan jangan menunda pekerjaan.

7. Bezuhudlah terhadap dunia, bukan meninggalkan usaha tetapi berwaspada terhadap dunia agar tidak melupakan akhirat.

8. Bersungguh-sungguh melakukan amal soleh dan sentiasa takut dengan azab daripada Allah SWT.

9. Berwaspada terhadap orang yang berperilaku buruk.