Assalamualaikum Warahmatullah.
Di sini saya cuba mengulas dan membincangkan mengenai istidraj secara ringkas agar sahabat-sahabat sekalian boleh memahaminya. Dengan memahami istidraj ini maka secara tidak langsung saudara/i dapat memahami maksud rahmat dan nikmat yang diberikan oleh Allah Taala kepada manusia. InsyaAllah.
Istidraj (pada bahasa) adalah menipu dan merendah-rendahkannya.
Istidraj (pada istilah) adalah pemberian nikmat dari Allah Taala kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Allah Taala memberikan dan menambah nikmatNya supaya seseorang manusia itu terus alpa dan leka dengan segala nikmat-nikmat yang diperolehinya setiap kali mereka membuat kesalahan dan dosa.
Sabda Rasullulah S.A.W bermaksud:
Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka) maka ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah S.W.T.
(Riwayat at-Tabrani, Ahmad dan al-Baihaqi).
Manusia yang selalu lupa daratan dan berbuat maksiat akan tetapi mereka merasakan Allah Taala terus menyayangi mereka lagi dengan pemberian nikmat-nikmat kepada mereka. Mereka memandang hina kepada orang-orang yang beramal soleh akan tetapi tidak diberikan nikmat sepertimana dia perolehi. Mereka lupa untuk bertaubat dan bersyukur serta tidak mengerjakan amal soleh.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan) dengan cara yang tidak mereka ketahui.
(Surah al-Araaf: ayat 182).
Istidraj adalah perkara di luar kebiasaan adat yang berlaku kepada orang fasik dan orang kafir sebagai tipu daya kepada mereka. Ini akan menambahkan kejahilan dan keangkuhan mereka sehingga balasan Allah Taala datang menimpa mereka dalam keadaan mereka lupa dan lalai.
Firman Allah Taala bermaksud:
Tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka maka Kamipun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong maka ketika itu mereka terdiam berputus asa. Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
(Surah al-Anaam: ayat 44 dan 45).
Bertaubat dan bersyukurlah di atas segala rahmat dan nikmat yang diberikan oleh Allah Taala kepada kita. Terlalu banyak bosa dan rahmat yang diberikanNya kepada kita.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung.
(Surah an-Nuur: ayat31).
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengkufuri (nikmat) Ku.
(Surah al-Baqarah: ayat 152).
Sebagai orang yang beriman kita dikehendaki sentiasa bertaubat dan bersyukur di atas segala rahmat dan pemberianNya. Kita hanyalah seorang hamba Allah Taala yang amat-amat lemah. Sesungguhnya orang-orang beriman sentiasa diuji dengan pelbagai dugaan dari Allah Taala. Semoga kita tabah menghadapinya. Adapun mereka yang kaya raya akan tetapi sentiasa bersyukur dan melakukan amal soleh seperti yang dituntut oleh agama maka mereka itulah yang terlebih baik.
Segala kesalahan dan kecacatan dari penulisan saya ini harap dapat diperbetulkan segera oleh sahabat-sahabat sekalian.
Wallahualam…
dipetik daripada :
buluh, moderator agama iluvislam